Hajiji, Jahid dan jemputan lain bergambar bersama pegawai-pegawai daerah yang menghadiri Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali Ke-28 Tahun 2025 di Shangri-La Tanjung Aru Resort (STAR), Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mengumumkan keputusan untuk menaik taraf gelaran jawatan Penolong Pegawai Daerah Kecil kepada Pegawai Daerah Kecil berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Jahid Jahim berkata, langkah itu diambil bagi mengiktiraf peranan besar mereka sebagai ketua jabatan di daerah kecil masing-masing.
Katanya, walaupun perubahan ini tidak melibatkan sebarang pindaan gred jawatan, ia memberikan status rasmi selaras dengan tanggungjawab besar yang digalas oleh pegawai terbabit.
“Mereka bukan sekadar penolong tetapi merupakan ketua jabatan di daerah kecil yang memimpin pentadbiran, menyelaras pembangunan serta menjadi jambatan antara kerajaan dengan rakyat. Oleh itu, gelaran baharu ini adalah wajar bagi menghargai kedudukan mereka,” katanya dalam ucapan alu-aluannya sempena Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-28 di Shangri-La Tanjung Aru di sini, hari ini.
Persidangan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Jahid yakin pengiktirafan tersebut akan menjadi suntikan semangat kepada penjawat awam di peringkat daerah kecil, selain meningkatkan imej mereka di mata masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan peranan penting pegawai daerah dan pegawai daerah kecil sebagai barisan hadapan kerajaan negeri dalam menjayakan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)
“Kecekapan, ketelusan dan kebijaksanaan tuan-tuan serta puan-puan dalam melaksanakan amanah akan menentukan keberhasilan dasar kerajaan. Pembangunan daerah yang terancang membawa kepada kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Bertemakan Daerah Maju, Rakyat Sejahtera, persidangan kali ini menghimpunkan para pegawai daerah untuk membincangkan cabaran pentadbiran, berkongsi pandangan dan mencari solusi ke arah memperkukuh pembangunan daerah di Sabah.
Jahid turut mencadangkan supaya KPLB mengadakan Mesyuarat Pemantauan Projek-Projek di semua daerah sekurang-kurangnya sekali setiap dua bulan bagi memastikan setiap projek pembangunan dipantau dengan teliti dan disiapkan mengikut jadual.
Setakat Ogos 2025, katanya, kementerian telah membelanjakan RM281.26 juta daripada peruntukan pembangunan RM326 juta, iaitu 86.28 peratus, dengan kebanyakan projek kini berada dalam proses pembayaran kepada bendahari.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa semua projek di bawah KPLB akan dapat disiapkan mengikut jadual sekali gus memberi impak kepada rakyat luar bandar.
Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-28 ini dijangka menjadi wadah penting untuk memperkukuh kerjasama antara pentadbir daerah dalam memperhebatkan peranan masing-masing demi kesejahteraan rakyat.


































