KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyifatkan kenyataan Naib Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee yang mendakwa Kerajaan Negeri kononnya menghidap “penyakit lima serangkai” sebagai sekadar retorik politik berapi-api tetapi kosong daripada sebarang penyelesaian untuk rakyat.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, GRS tidak menafikan wujud cabaran besar di Sabah, termasuk isu air, elektrik dan pembangunan tanah. Namun, beliau menegaskan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sedang melaksanakan pelan nyata melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pendekatan GRS adalah jelas, iaitu memberi tumpuan kepada infrastruktur asas, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil negeri. Cabaran ini adalah legasi berpuluh tahun, dan tidak akan selesai hanya dengan retorik politik kosong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam Abu Bakar Titingan
Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila Bersatu menggunakan retorik “angkat senjata politik” yang mencerminkan budaya politik konfrontasi, seolah-olah mahu menjadikan Sabah gelanggang percubaan kuasa untuk agenda Perikatan Nasional (PN) menuju Putrajaya.
“Malah Ronald sendiri mengakui di Perhimpunan Agung Bersatu bahawa kemenangan di Sabah hanya ‘permulaan jalan kemenangan PN di Semenanjung’. Ini membuktikan Sabah bukan matlamat perjuangan mereka, sebaliknya sekadar batu loncatan kuasa,” katanya.
Nizam turut mengingatkan bahawa Presiden Bersatu pernah menjadi Perdana Menteri, namun isu besar rakyat Sabah seperti kemudahan asas, peluang pekerjaan dan pelaksanaan penuh hak MA63 tidak diberi perhatian sewajarnya ketika itu.
“Peluang yang ada tidak dimanfaatkan untuk membawa perubahan nyata kepada Sabah. Kini selepas hilang kuasa, Bersatu kembali dengan retorik dan janji baharu yang tidak lebih daripada mengulangi kegagalan lama,” tegasnya.
Beliau turut menambah, PN sendiri tidak stabil apabila sering berdepan percanggahan dalaman, termasuk teguran terbuka daripada PAS yang menunjukkan Bersatu membuat keputusan tanpa konsensus.
“Penganalisis politik juga menyebut PN masih ‘mencari pusat graviti’. Bagaimana mereka mahu menjanjikan kestabilan untuk Sabah sedangkan dalam PN sendiri wujud keretakan ketara?” soal Nizam.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan dakwaan kononnya Sabah hanya akan dibantu jika Bersatu kembali menjadi kerajaan adalah tidak berasas, kerana hakikatnya kerajaan negeri hari ini sudah mendapat pelbagai sokongan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Ini termasuk peruntukan pembangunan, projek infrastruktur serta komitmen terhadap pelaksanaan MA63. Membuat dakwaan sebaliknya hanyalah retorik politik Bersatu untuk menutup kegagalan mereka ketika diberi peluang berkuasa dahulu,” katanya.
Nizam juga membangkitkan isu PRU15, apabila Ronald Kiandee didakwa begitu terdesak mahu menjadi calon GRS sehingga sanggup melanggar konsensus bersama Barisan Nasional ketika itu.
“Apakah kerana gagal menjadi calon GRS, Ronald kini berdendam dengan kepimpinan GRS?,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat Sabah sudah cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya mahu menjadikan negeri ini batu loncatan kuasa ke Putrajaya.
“GRS kekal fokus membawa kestabilan, konsistensi dan pembangunan untuk semua rakyat Sabah,” katanya.


































