Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan memperincikan pengiraan hak pemberian khas 40 peratus Sabah, menetapkan jadual pembayaran yang jelas serta memastikan pelaksanaannya bermula 2027 tanpa mengetepikan tuntutan bagi tempoh terdahulu.
Beliau berkata peningkatan bayaran interim daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion merupakan perkembangan yang dialu-alukan, namun rakyat Sabah perlu mengetahui sama ada jumlah itu berdasarkan formula hak 40 peratus atau sekadar bayaran sementara menunggu pengiraan sebenar dipersetujui.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 menyentuh kegagalan menunaikan kewajipan perlembagaan bagi tempoh 1974 hingga 2021, justeru usaha menyediakan data dan pengiraan sebenar perlu diteruskan walaupun terdapat proses rayuan dan penangguhan pelaksanaan.
“Hak ini berasaskan Perkara 112C, dibaca bersama Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. Jadi, semakan di bawah Perkara 112D mesti berpandukan kerangka tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Maksud Tanggungan 12: Perbendaharaan, Butiran 010600: Pemberian Khas Tahunan Sabah, pada peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Madius turut meminta Menteri Kewangan menjelaskan perkara yang masih belum dipersetujui dalam rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah, sama ada berkaitan takrif hasil bersih, data kutipan, asas tahun 1963 atau kaedah pengiraan.
Beliau juga mempersoalkan asas undang-undang sekiranya bayaran interim dianggap sebagai pemberian gantian, termasuk keperluan mendapatkan persetujuan kedua-dua kerajaan dan kewujudan perintah yang berkuat kuasa.
Katanya, jaminan bertulis perlu diberikan bahawa penerimaan bayaran interim tidak akan menggugurkan hak Sabah, termasuk tuntutan terdahulu, selain menjelaskan bagaimana bayaran itu akan diambil kira dalam penyelesaian akhir.
Madius turut meminta penjelasan mengenai mekanisme pembayaran baki RM900 juta daripada jumlah RM1.5 bilion yang diumumkan untuk disalurkan sebelum akhir 2026, memandangkan RM600 juta telah diterima menerusi Warta Pemberian Khas Sabah 2025.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan ketelusan pembentangan perbelanjaan Persekutuan bagi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dalam Belanjawan 2027, sambil menggesa Kerajaan menggunakan kaedah pelaporan yang sama bagi ketiga-tiga wilayah.
Menurutnya, daripada jumlah RM18.7 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah, RM7 bilion adalah untuk pembangunan, RM8.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM2.8 bilion merupakan pemberian khas.
Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan memperincikan komponen pemberian khas berkenaan dan menjelaskan sama ada ia turut merangkumi RM1.5 bilion yang diumumkan sebelum ini untuk pembayaran pada 2026.
Madius menegaskan bahawa perbelanjaan Persekutuan di Sabah tidak boleh disamakan secara automatik dengan pembayaran hak 40 peratus kerana perbelanjaan seperti gaji guru, petugas kesihatan dan anggota keselamatan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan kepada rakyat.
“Menunaikan tanggungjawab Persekutuan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan hak Sabah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa perbelanjaan mengurus hanya diumumkan bagi Sabah dan Sarawak, sedangkan perbelanjaan mengurus Semenanjung Malaysia tidak dibentangkan secara menyeluruh menggunakan pendekatan sama.
Madius berkata Kerajaan juga perlu menjelaskan jumlah peruntukan pembangunan Semenanjung Malaysia secara keseluruhan dan bukan hanya memecahkannya mengikut wilayah Utara, Selatan, Timur dan Tengah sehingga menyukarkan perbandingan.
Sebagai perbandingan, beliau merujuk Belanjawan 2025 yang menunjukkan jumlah peruntukan pembangunan bagi empat wilayah Semenanjung Malaysia sebanyak RM44.5 bilion, berbanding RM6.7 bilion untuk Sabah dan RM5.9 bilion bagi Sarawak.
Katanya, pembentangan yang hanya menonjolkan jumlah peruntukan untuk Sabah tanpa perbandingan menyeluruh boleh menimbulkan persepsi seolah-olah Kerajaan Persekutuan sudah memberikan peruntukan besar dan Sabah tidak sepatutnya mempersoalkan haknya.
“Tuan Pengerusi, Sabah mahu haknya ditunaikan. Rakyat mahu air sampai ke rumah, anak-anak belajar di sekolah yang selamat dan pesakit mendapat rawatan,” katanya.
Justeru, beliau menggesa Kerajaan membentangkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak menggunakan asas yang sama, selain mengasingkan peruntukan nasional atau merentas wilayah bagi memastikan gambaran kewangan Persekutuan lebih lengkap dan telus.
Madius menegaskan bahawa rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu penyelesaian tuntutan berkenaan dan Kerajaan Persekutuan perlu memberikan kepastian melalui pengiraan yang boleh disemak, jadual pembayaran yang jelas serta peruntukan mencukupi.
“Tuaran menggesa supaya hak 40 peratus dilaksanakan mulai 2027, tanpa mengetepikan tuntutan terdahulu. Untuk itu, bentangkan pengiraan yang boleh disemak, tetapkan jadual pembayaran dan sediakan peruntukan yang mencukupi,” katanya.
































