Dr Mohammed Taufiq Johari
HULU LANGAT (Bernama): Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini melancarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 yang bertindak sebagai anjakan strategik dalam memperkasakan ekosistem latihan kemahiran belia negara menerusi empat fokus utama.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata empat teras berkenaan merangkumi latihan berasaskan industri dan tempat kerja, perkongsian pembiayaan antara kerajaan dan industri, TVET sepanjang hayat serta pembangunan latihan dalam teknologi tinggi dan kritikal.
Beliau berkata inisiatif berkenaan turut diperkukuh menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bersama 21 syarikat industri bagi meluaskan kerjasama strategik pembangunan bakat belia.
“TVET 2.0 KBS ni merupakan satu anjakan strategik dalam memperkasakan ekosistem latihan kemahiran belia melalui empat fokus utama dan pada hari ini juga kita lihat adanya pertukaran, tandatangan dan juga pertukaran MoU antara ILKBS dan juga 21 syarikat industri bagi memperluas lagi kerjasama strategik dalam pembangunan bakat belia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran TVET 2.0 KBS dan Himpunan Belia TVET MADANI 2026 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KBS Datuk Rahimi Ismail dan Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan.
Mengulas mengenai kebolehpasaran graduan, Dr Mohammed Taufiq berkata kadar kebolehpasaran lulusan ILKBS mencatatkan peningkatan memberangsangkan, iaitu mencecah 97.36 peratus bagi 2026 dan pencapaian itu didorong oleh pendekatan kurikulum yang mengimbangi kemahiran teknikal dan sahsiah diri pelatih.
“Apa yang ingin kita tekankan ialah lulusan KBS dibekalkan dengan 80 peratus kemahiran, manakala 20 peratus lagi memfokuskan kepada pembentukan sahsiah dan jati diri menerusi pelbagai program yang dirangka bersama.
“Selain itu, kadar kebolehpasaran graduan ILKBS terus meningkat sehingga mencecah 97.36 peratus pada 2026,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik peruntukan Belanjawan 2027 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukkan sehingga RM8 bilion bagi pemerkasaan sektor TVET secara keseluruhan.
Katanya, peruntukan berkenaan turut memberi manfaat langsung kepada kebajikan penuntut di 21 institusi ILKBS seluruh negara termasuk kenaikan kadar elaun sehingga RM300 serta peningkatan peruntukan makanan daripada RM35 juta kepada RM40 juta pada tahun depan.
“Alhamdulillah, kebajikan pelatih ILKBS terus diberi perhatian dengan pemberian elaun daripada RM100 sehingga RM300. Selain itu, peruntukan makanan di kesemua 21 institusi ILKBS turut ditingkatkan kepada RM35 juta pada tahun ini dan bakal mencecah RM40 juta pada tahun depan.
“Langkah ini sudah tentu memberi kelegaan besar kepada seluruh warga pelatih dan kami amat menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya.
Terdahulu, Dr Mohammed Taufiq ketika meyampaikan ucapan perasmian berkata pelaksanaan empat teras itu bermatlamat mempersiapkan lebih 15,000 pelatih di 21 buah ILKBS seluruh negara untuk bersaing bukan sahaja di peringkat domestik, malah merebut peluang pekerjaan di pasaran serantau ASEAN serta global.
Pada masa sama, beliau menekankan dasar keterangkuman ILKBS yang terus membuka ruang kepada golongan rentan, termasuk wanita, Orang Kurang Upaya (OKU) dan individu autistik agar berdaya saing serta mampu menembusi alam pekerjaan sebenar. — BERNAMA
































