Joniston (tengah) bersama Surrendren (kanan), Nigel (kiri), Tan (ketiga kiri), Julinus (keempat kanan) dan Amirul (ketiga kanan) pada perasmian Pavilion Sabah, MATTA Fair 2025.
KOTA KINABALU: Seramai 94 pengusaha pelancongan dan pengendali pelancongan dari Sabah menyertai Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2025 selama tiga hari yang bermula Jumaat di MITEC, Kuala Lumpur, sekali gus mencatatkan rekod baharu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, jumlah penyertaan dari Sabah itu lebih daripada dua kali ganda berbanding pameran MATTA yang diadakan pada April lalu.
“Penyertaan terbesar ini membuktikan industri pelancongan Sabah terus berkembang pesat,” kata Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) ketika merasmikan Pavilion Sabah di pameran itu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Surrendren Sathasivam; Presiden MATTA, Nigel Wong; Timbalan Pengerusi STB, Datuk Tan Kok Liang; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jimit; serta Pengarah Kanan Pelancongan Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026, Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim.
Pada pameran itu, Sabah memperkenalkan pakej percutian mesra keluarga baharu di Kudat dan Tawau, selain pengalaman pelancongan yang diperbaharui bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menekankan bahawa MATTA mengiktiraf Sabah sebagai destinasi kegemaran Malaysia, Joniston berkata, Sabah menggunakan platform ini untuk memperkukuh daya tarikannya dengan menampilkan produk baharu serta mempamerkan kepelbagaian tarikan kepada pelancong yang mencari pengalaman unik dan bermakna.
“MATTA Fair kekal sebagai platform utama untuk kita, dan tahun ini tumpuan kita beralih kepada produk nilai tambah, khususnya pakej berorientasikan keluarga, persembahan kebudayaan, serta pengembaraan berasaskan alam semula jadi,” katanya.
Beliau turut menyatakan wujudnya permintaan yang semakin meningkat terhadap percutian imersif, dan promosi tahun ini disesuaikan dengan trend tersebut, termasuk tawaran eksklusif bagi pakej keluarga, pelancongan berasaskan komuniti serta aktiviti luar.
Penyertaan kukuh Sabah di pameran ini juga mencerminkan usaha kerjasama antara STB, pengusaha pelancongan, pengendali hotel dan pemain pelancongan luar bandar untuk menyajikan pengalaman lebih pelbagai serta menarik kepada pengunjung.
“Usaha kolektif daripada semua pihak industri, daripada pemain utama hingga pengusaha pelancongan luar bandar, mencerminkan komitmen bersama kita untuk memastikan Sabah terus menjadi pilihan utama pelancong,” kata Joniston.
Beliau yakin penawaran baharu Sabah serta pendekatan kerjasama ini akan meningkatkan daya tarikan pelancongan negeri, sekali gus tepat pada masanya untuk menarik minat pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Ini adalah masa yang tepat untuk menarik perhatian pelancong dan menginspirasikan mereka menjadikan Sabah sebahagian daripada rancangan percutian mereka,” tambahnya.


































