Dr. Joachim (depan) bersama dengan semua yang hadir melaungkan laungan ‘Merdeka’ di Dewan Mini Kg. Timbua.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), landskap pembangunan negeri bukan sahaja berubah malah merekodkan pelbagai kejayaan penting.
Menurutnya, pencapaian itu meliputi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan infrastruktur asas yang menjadi keperluan utama rakyat negeri ini.
“Semua ini terlaksana hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan sama ada menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mahupun inisiatif Kerajaan Madani,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar rakyat bijak memilih kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang supaya hasil pelaksanaan Hala Tuju SMJ dapat dinikmati secara berterusan.

Dr. Joachim (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan AJK Pelaksana program dan semua tetamu jemputan yang hadir.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia peringkat Mukim Timbua di Dewan Mini Kg. Timbua, di sini, kelmarin (6 Sept).
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak hanya menjadikan sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia sebagai acara memperingati negara serta negeri ini bebas daripada penjajah.
“Lebih daripada itu, sambutan ini perlu dijadikan medium untuk memperkukuh keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang etnik,” tegasnya.

Dr. Joachim (tengah) bergambar bersama dengan Ketua-ketua Kampung Mukim Timbua.
Pada masa sama, beliau menekankan bahawa kerjasama erat antara rakyat dan Kerajaan perlu terus diperkukuh bagi membolehkan kesinambungan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dr Joachim turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Penganjur, Mod Sably Kaimin dan semua pihak yang terbabit menjayakan sambutan yang berjaya menghimpunkan masyarakat mukim Timbua melalui pelbagai aktiviti.
Program yang bermula pada 31 Ogos lalu itu menampilkan pengisian seperti konvoi motosikal, senamrobik zumba, Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Jabatan Kesihatan, kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN), gerai jualan serta sukan rakyat termasuk tarik tali.
Secara keseluruhan, beliau berpuas hati kerana sambutan kali ini berlangsung dengan penuh meriah dan berfaedah serta berjaya menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Dr Joachim turut menghargai penglibatan pelbagai pihak seperti Kelab Motosikal Timbua (KMT), Jabatan Penerangan, Belia Masjid As-Syarif, Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Timbua serta Presiden Mesilou Volunteer Club (MEVOC), Samsul Sinun yang bertindak sebagai penasihat program.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo; Pengarah Program Majlis, Jasirin Musidi; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dounis Sani; Pemaju Mukim Timbua, Handdy Jaidi; Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


































