Ellron bergambar kenangan bersama-sama wakil-wakil gabungan daripada seluruh Sabah
KOTA KINABALU: Seramai 110 pemimpin belia daripada pelbagai badan gabungan menghadiri Sidang Pertama, Penggal Ke-35 Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Shangri-La Rasa Ria Resort, Tuaran, baru-baru ini.
Persidangan itu dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan yang juga Pengerusi MPBN Negeri, Datuk Ellron Angin.
Sebanyak 11 usul telah dibawa oleh wakil gabungan Majlis Belia Sabah yang mewakili kawasan Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Beaufort, Sandakan, Pedalaman Atas dan Tawau.
Antara isu yang diketengahkan termasuk masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, kekurangan pusat latihan TVET, kadar pemilikan rumah yang rendah, serta keperluan menjalankan penyelidikan khusus berkaitan ekonomi belia di Sabah.
Wakil Majlis Belia Sabah, Helmi Milus turut membawa usul khas agar had umur belia di negeri ini dikekalkan pada lingkungan 15 hingga 40 tahun.
Dalam ucapannya sebelum persidangan bermula, Ellron menegaskan bahawa golongan belia perlu tampil dengan pemikiran idealistik serta bersedia menjadi pemimpin berwibawa demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat direalisasikan.
“Sabah mempunyai keunikan tersendiri melalui kepelbagaian budaya, kekayaan sumber alam serta semangat perpaduan rakyat yang tinggi. Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan terus komited memperkukuhkan institusi belia, memperluas program pembangunan kapasiti, dan memastikan suara belia didengar serta diambil kira dalam proses penggubalan dasar negeri,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan dalam ucapannya, mengingatkan golongan muda agar tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu negatif yang disebarkan di media sosial demi kepentingan tertentu.
“Belia harus bijak menilai maklumat dan tidak membiarkan emosi mereka dikawal oleh berita yang janggal. Kita mahu belia yang mempunyai pemikiran kritis, tetapi dengan idea yang mampu membawa kejayaan kepada negeri dan negara,” ujarnya.
Persidangan itu turut dihadiri Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan; Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah, Norman Ramlan; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Perundingan Belia Daerah yang bersama-sama memberi maklum balas terhadap usul-usul yang dibawa para perwakilan.


































