KOTA KINABALU: Polis menahan seorang remaja lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah farmasi di Jalan Gaya, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.41 petang apabila suspek bersenjatakan pisau masuk ke dalam premis farmasi tersebut.
“Suspek telah mengacukan pisau ke arah seorang pekerja dan mengarahkan mangsa membuka mesin wang. Mangsa yang juga pekerja farmasi berkenaan mengalami kecederaan ringan akibat cubaan melawan serta merampas senjata daripada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut Kasim, hasil semakan mendapati suspek yang masih berusia belasan tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing juga didapati negatif.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata sehingga menyebabkan kecederaan,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu dalam penangkapan suspek tersebut.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berdepan dengan sebarang kejadian jenayah,” katanya.


































