Masiung menyampaikan sumbangan jersi kepada Pengerusi Penganjur, Elvinson Jumlai.
TONGOD: Generasi muda disaran memanfaatkan ledakan teknologi digital terkini untuk menambah sumber ekonomi, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Beliau mengingatkan golongan itu agar tidak terjerat dengan visual media tanpa sempadan yang berunsurkan hasutan dan kejahatan.
Masiung berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kejohanan Sepak Takraw Piala ADUN Kuamut anjuran Belia Wawasan Tongod di Kampung Lingkabung, semalam.
Beliau berkata, ketagihan terhadap media sosial dalam kalangan belia harus menjadi nilai tambah untuk menjana pendapatan serta menimba ilmu, bukannya dijadikan medium untuk menindas pihak lain.
“Ramai belia masa kini bekerja sepenuh masa merakam peristiwa penting secara langsung dalam negara dan memperoleh pendapatan lumayan menerusi aplikasi TikTok serta platform media sosial lain.
“Tetapi malangnya, ada segelintir masyarakat menyalahgunakan media digital untuk tujuan negatif seperti menyebarkan video dan cerita palsu bagi mengaibkan individu atau pertubuhan tertentu demi kepentingan politik,” katanya.
Masiung turut menegaskan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), hampir setiap hari wujud ‘cybertrooper’ berbayar daripada kumpulan dan pertubuhan politik tertentu di Sabah yang menggunakan media sosial menyerang kerajaan.
“Mereka menjadikan media sosial sebagai platform utama untuk menyebarkan video fitnah dan berita berunsur hasutan bagi menyerang pemimpin kerajaan. Saya menasihati generasi muda supaya tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan politik,” ujarnya.


































