Dr. Joachim (duduk, lima dari kanan) bergambar dengan belia yang menyertai pertandingan bola tampar itu dan semua yang hadir.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru golongan belia agar terus menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor demi kelancaran dan kesinambungan pelan pembangunan komprehensif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, pelan SMJ terbukti membawa kejayaan dalam pembangunan sosial dan ekonomi yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Sabah.
“Belia perlu bijak membuat pilihan demi mempertahan kestabilan politik serta institusi kerajaan sedia ada, sekali gus memelihara kesejahteraan dan hak rakyat negeri ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Bola Tampar Piala Belia Pusingan Mukim Perancangan 2025 di Kampung Togis, Ranau, kelmarin (6 Sept).

Dr. Joachim menurunkan tandatangan pada sebiji bola sambil disaksikan oleh yang lain.
Kejohanan itu disertai empat kampung iaitu Kampung Lampaki, Kampung Perancangan, Kampung Togis dan Kampung Pinawantai.
Menurut Dr. Joachim, Kerajaan GRS kini mempunyai rekod terbaik dalam pentadbiran, termasuk berjaya menarik pelaburan antaranya dari syarikat China, Sabah Kibing Solar New Materials yang telah membangunkan kilang solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu.
“Kilang ini telah membuka peluang pekerjaan dan menyediakan latihan kemahiran kepada golongan belia. Peluang pekerjaan di pelbagai peringkat ini diharap dapat mengurangkan penghijrahan belia kita ke Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Penganjur Pemaju Mukim Pinawantai merangkap Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Cawangan Kampung Togis, Saiful Ruling, bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Takutan, Parvin Yudin; serta Pemuda PBS Kundasang atas penganjuran kejohanan itu yang berjaya menyatukan belia sekitar.
Sementara itu, Saiful dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Dr. Joachim kerana sudi merasmikan majlis penutupan pertandingan tersebut walaupun jadual kerja yang ketat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo; Pemimpin Pemaju Masyarakat, Dounis Sani; serta Ketua Pemuda PBS Kundasang yang juga Setiausaha Perhubungan Awam (SuPA) kepada Dr. Joachim, Khairol Majide Kalimin.


































