Dr. Joachim (kanan) turut serta dalam sambutan Hari Paroki itu bagi upacara penyerahan ‘persembahan umat’ kepada Archbishop Datuk John Wong.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menghadiri Sambutan Hari Paroki di Gereja St. Peter Claver Ranau (SPCR), yang disempurnakan oleh Archbishop Datuk John Wong di sini, hari ini.
Kehadiran Dr. Joachim disambut mesra oleh para penganut Katolik yang memenuhi perkarangan gereja sejak pagi tadi.
Dr. Joachim turut berkesempatan menyantuni jemaah serta meluangkan masa bersama masyarakat setempat yang hadir dalam suasana penuh harmoni.

Dr. Joachim (enam dari kanan) turut serta dalam acara memotong kek yang disempurnakan oleh Archbishop Datuk John Wong (tengah) dan tetamu kehormat yang hadir.
Acara sambutan turut diserikan dengan majlis memotong kek sebagai simbolik perayaan, selain jamuan makan tengah hari yang diadakan di Padang Sekolah St. Benedict bersama tetamu kehormat.
Antara kenamaan lain yang turut memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin; Pengerusi Perayaan Khas dan Protokol Paroki SPCR, Georgina George dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kundasang, Dounis Sani.
Sambutan Hari Paroki itu menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat, selain menzahirkan semangat perpaduan serta keharmonian pelbagai etnik dan agama di daerah Ranau.


































