PARIS: Perancis telah memulangkan tiga tengkorak manusia kepada Madagascar yang disimpan di sebuah muzium di Paris selama 128 tahun, termasuk satu yang dipercayai milik seorang raja Madagascar yang dipenggal oleh tentera Perancis semasa era penjajahan.
Menurut Utusan Malaysia, tengkorak yang dipercayai milik Raja Toera, bersama dua lagi tengkorak daripada etnik Sakalava diserahkan secara rasmi dalam satu upacara di Kementerian Kebudayaan Perancis pada Selasa.
Raja Toera dipenggal oleh tentera Perancis semasa pembunuhan besar-besaran penduduk tempatan pada tahun 1897. Tengkoraknya kemudian dibawa pulang ke Perancis sebagai trofi dan disimpan di Muzium Sejarah Alam Paris bersama ratusan tinggalan lain dari pulau Madagascar.
“Mereka memasuki koleksi negara dalam keadaan yang jelas melanggar maruah manusia dan dalam konteks keganasan kolonial,” kata Menteri Kebudayaan Perancis, Rachida Dati, dalam majlis tersebut.
Rakan sejawatnya dari Madagascar, Volamiranty Donna Mara, menyambut baik pemulangan itu dan menyifatkan pengambilan tengkorak tersebut sebagai luka terbuka di hati pulau mereka selama lebih satu abad, 128 tahun lamanya.
“Mereka bukan barang koleksi sebaliknya mereka adalah ikatan yang tidak kelihatan dan tidak terpadam yang menyatukan masa kini dengan masa lalu kami,” tambah Mara.
Rakaman video dari majlis itu menunjukkan tiga kotak yang dilitupi kain tradisional dibawa dalam perarakan penuh hormat ke lokasi penyerahan rasmi di bangunan Kementerian Kebudayaan Perancis yang bersejarah.
Menurut Dati, satu jawatankuasa saintifik bersama telah mengesahkan bahawa ketiga-tiga tengkorak berasal daripada masyarakat Sakalava, namun hanya dapat mengandaikan bahawa salah satunya milik Raja Toera.
Majlis ini menandakan pemulangan semula tinggalan manusia yang pertama sejak Perancis meluluskan undang-undang pada 2023 yang memudahkan pemulangan artifak dan tinggalan kolonial kepada negara asal.


































