HOUSTON: Dua pempengaruh media sosial nyaris maut dalam satu insiden mengejutkan apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (SUV) merempuh masuk ke dalam sebuah restoran ketika mereka merakam sesi merasa makanan.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian berlaku di restoran Cuvee Culinary Creations, Houston, melibatkan Nina Santiago, atau lebih dikenali sebagai NinaUnrated, dan rakan kolaboratornya, Patrick Blackwood. Ketika itu, mereka sedang menikmati hidangan burger mini sambil merakam kandungan untuk media sosial.
Rakaman video yang dimuat naik di Instagram pada 17 Ogos menunjukkan detik cemas apabila SUV terbabit tiba-tiba merempuh masuk melalui dinding kaca restoran, menyebabkan meja mereka terbalik dan kaca berterbangan di sekeliling.
Nina terjatuh ke lantai, manakala Patrick hampir menghempapnya ketika cuba menyelamatkan diri dari bangku yang diduduki.
Menurut Nina, kejadian berlaku begitu pantas dan kenderaan tersebut “merempuh mereka secara langsung”.
“Saya sangat bersyukur masih hidup selepas SUV merempuh dinding kaca ketika kami sedang merakam rancangan makanan. Segala-galanya berderai dan berterabur,” tulis Nina di Instagram pada 18 Ogos sambil berkongsi gambar luka di wajah dan pergelangan tangannya.
Dia mengakui insiden tersebut memberi kesan mendalam terhadap pandangan hidupnya.
“Kejadian ini menyedarkan saya siapa yang benar-benar penting dalam hidup. Hidup ini terlalu singkat untuk menyimpan dendam atau kemarahan. Belajarlah untuk melepaskan, memaafkan, menghargai masa kini dan menyayangi orang tersayang kerana kita tak tahu bila saat terakhir bersama mereka,” katanya.
Patrick turut berkongsi gambar kecederaan yang dialaminya, termasuk luka berdarah di pipi, telinga, dada dan tangan. Salah satu lukanya memerlukan tujuh jahitan.
Setakat ini, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.


































