PETALING JAYA: Polis menyiasat kemungkinan elemen buli berhubung kematian dua penuntut sebuah kolej swasta dalam kejadian berasingan di kondominium sama di Taman Melati dekat sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua mangsa ialah penuntut lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 22 tahun.
“Saya ingin mengesahkan dua kejadian kematian mengejut (SDR) yang berlaku pada 20 Ogos, hari Rabu lalu.
“Kejadian pertama pada pukul 6.48 pagi, membabitkan seorang wanita berusia 22 tahun yang terjatuh dari tingkat 22 dan ditemui di tingkat lapan kondominium berkenaan.
“Kejadian kedua berlaku pada pukul 9.35 malam di kondominium sama membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun yang terjatuh dari tingkat 35,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Fadil berkata, mangsa kedua ditemukan di bahagian belakang blok A kondominium terbabit.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan bagi melihat sama ada wujud kaitan dengan kesalahan buli di dalam atau luar talian yang mungkin berkaitan dengan kejadian SDR ini.
“Setakat ini, siasatan masih dijalankan, pihak polis sedang berusaha mendapatkan semua bukti, termasuk menanti laporan (penuh) bedah siasat yang dijalankan,” katanya.
Menurutnya, kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dengan mengambil kira semua faktor berkaitan kedua-dua kes.
“Kedua-dua mangsa dibedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan punca kematian disahkan akibat pelbagai kecederaan kerana jatuh dari tempat tinggi.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur-unsur jenayah ditemui dan kematian diklasifikasikan sebagai SDR, namun siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan,” katanya.
































