NEW YORK: Sebuah perjalanan pulang dari Air Terjun Niagara berakhir tragis apabila sebuah bas pelancong terbabas dan terbalik di New York State Thruway, barat New York, pada Jumaat, mengakibatkan sekurang-kurangnya lima kematian.
Menurut Utusan Malaysia, Polis Negeri New York, bas yang membawa 52 penumpang berusia antara satu hingga 74 tahun itu dalam perjalanan menuju ke New York City ketika kejadian berlaku berhampiran bandar Pembroke, kira-kira 48 kilometer dari Buffalo.
Kebanyakan mangsa yang terlibat dikenal pasti sebagai warganegara asing dari India, China dan Filipina. Penterjemah turut dibawa ke lokasi bagi membantu siasatan serta proses mengenal pasti mangsa.
“Kami membawa semua pasukan bantuan kecemasan yang ada termasuk ambulans dan helikopter perubatan bagi memastikan semua mangsa mendapat rawatan segera,” kata Gabenor New York, Kathy Hochul.
Pihak berkuasa mendedahkan sebahagian mangsa tercampak keluar daripada kenderaan, dipercayai kerana tidak memakai tali pinggang keledar, manakala beberapa yang lain terperangkap di dalam runtuhan bas selama beberapa jam.
Nahas itu turut mencetuskan kekeliruan awal apabila dilaporkan seorang kanak-kanak antara yang maut, namun polis kemudian menafikan maklumat itu.
Menurut Komander Pasukan Polis Negeri New York, Andre Ray Major, siasatan awal mendapati tiada bukti kecuaian pemandu atau kerosakan mekanikal, namun siasatan penuh masih diteruskan.
“Pemandu memberikan kerjasama penuh dan setakat ini tiada pertuduhan dikenakan,” ujarnya dalam sidang media.
Bas terbabit dilaporkan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terhumban ke dalam parit, mengakibatkan kemusnahan teruk pada struktur kenderaan.
Setakat ini, 21 mangsa sedang menerima rawatan di hospital berhampiran, manakala jumlah kematian rasmi masih menunggu pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa.
Organisasi bekalan darah ConnectLife turut mengeluarkan rayuan kecemasan, memohon orang ramai tampil menderma darah bagi membantu mangsa yang cedera parah.
“Komuniti kita kini dalam krisis. Darah anda boleh menyelamatkan nyawa,” kata jurucakap, Sarah Diina.
Powell Stephens, saksi kejadian, berkata kepada The Buffalo News dia melihat bas terbalik dengan kaca bertaburan dan bagasi berselerakan.
“Semua tingkap pecah. Saya nampak ada mangsa masih sedar, tapi situasi itu berlaku terlalu cepat – saya sempat lihat dalam 15 saat saja,” katanya.
Pihak berkuasa kini memohon bantuan orang ramai yang berada di lokasi sekitar waktu kejadian dan mempunyai rakaman dashcam untuk tampil membantu siasatan.


































