NEW YORK: Delta Air Lines dan United Airlines berdepan saman daripada penumpang yang mendakwa mereka dikenakan bayaran tambahan untuk tempat duduk tepi tingkap, tetapi akhirnya ditempatkan bersebelahan dinding kosong.
Menurut Utusan Malaysia, saman berasingan yang difailkan terhadap kedua-dua syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) itu menuntut ganti rugi bernilai jutaan dolar bagi pihak lebih sejuta pelanggan masing-masing.
Penumpang mendakwa, syarikat penerbangan terbabit tidak memaklumkan bahawa tempat duduk tersebut sebenarnya tiada tingkap semasa proses tempahan, walaupun mengenakan caj premium.
United enggan mengulas kerana kes masih berjalan, manakala Delta belum memberikan sebarang kenyataan walaupun sudah dihubungi BBC.
Tuntutan undang-undang itu menuntut bayaran balik caj tambahan daripada penumpang yang mendakwa mereka membayar untuk tempat duduk tepi tingkap, tetapi diberikan tempat sebaliknya.
Kedua-dua saman itu, difailkan oleh firma guaman Greenbaum Olbrantz.
Aduan itu menyatakan beberapa pesawat penumpang Boeing dan Airbus mempunyai tempat duduk tanpa tingkap kerana kedudukan saluran penghawa dingin, pendawaian atau komponen lain.
Menurut dokumen mahkamah, Delta dan United tidak menandakan tempat duduk itu semasa proses tempahan.
Saman itu juga menyebut orang ramai membeli tempat duduk tepi tingkap atas pelbagai sebab, termasuk untuk mengatasi ketakutan, mabuk perjalanan, menghiburkan anak-anak atau menikmati pemandangan.
Aduan itu menyatakan, sebahagian penumpang tidak akan memilih tempat tersebut atau membayar lebih untuknya, jika tahun ia sebenarnya tidak mempunyai tingkap.
Kedua-dua syarikat itu menggambarkan setiap tempat duduk di sepanjang sisi pesawat sebagai tempat duduk tepi tingkap, walaupun mereka tahu ada yang sebenarnya tidak berada di sebelah tingkap, menurut dokumen.
Penumpang mungkin dikenakan bayaran lebih tinggi untuk memilih tempat duduk tepi tingkap berbanding tempat duduk biasa.
Peguam yang mewakili kes itu menggambarkan amalan tersebut sebagai ‘mengelirukan’ dan tidak sah.

































