Dr. Dzulkefly Ahmad
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil langkah segera bagi membetulkan ketidakteraturan melibatkan isu tempoh perkhidmatan doktor kontrak yang tidak diambil kira dalam penetapan gred dan gaji apabila mereka dilantik ke jawatan tetap.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan keadilan kepada semua pegawai perubatan yang terlibat.
“Saya amat sedar akan permasalahan ini dan telah memulakan tindakan agar ketidakteraturan ini diperbetul dan diperhalusi. Doakan kami,” katanya menerusi hantaran di platform X semalam.
Beliau mengulas rungutan pengguna media sosial yang mempersoalkan maksud ‘memastikan senioriti’ apabila semua tahun perkhidmatan sebagai doktor kontrak tidak diambil kira.
Ia menyebabkan tempoh perkhidmatan ‘reset’ kepada sifar tahun dan gaji yang lebih rendah berbanding pegawai tetap yang dilantik sebelum era kontrak.
Kritikan itu timbul susulan pengumuman KKM bahawa seramai 4,354 calon Pegawai Perubatan Gred UD10 akan menerima tawaran pelantikan tetap selewat-lewatnya pada 18 Ogos ini dengan penempatan bermula seawal 2 Oktober ini secara berfasa.


































