WASHINGTON: Gergasi teknologi Apple mengumumkan pelaburan tambahan sebanyak AS$100 billion (RM423 bilion) untuk mengembangkan operasinya di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, keputusan itu dibuat di tengah-tengah tekanan daripada Presiden, Donald Trump yang mengancam akan mengenakan cukai import tinggi ke atas cip dan semikonduktor yang dihasilkan di luar negara.
Pelaburan baharu ini menyusuli komitmen suntikan modal sebanyak AS$500 billion (RM2.1 trillion) awal tahun ini untuk mengukuhkan kehadiran domestiknya, selepas syarikat itu mengalami kerugian berbilion dolar akibat tarif perdagangan yang dikenakan pentadbiran Trump ke atas rakan dagang AS.
Dalam satu acara di Pejabat Oval bagi meraikan pelaburan Apple, Trump mengulangi ancaman untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas cip dan semikonduktor yang diimport.
Namun, beliau menegaskan syarikat-syarikat yang komited untuk membina atau memindahkan operasi ke AS tidak akan dikenakan sebarang caj.
“Berita baik untuk syarikat seperti Apple ialah, jika anda membina kemudahan pengeluaran di AS atau telah memberikan komitmen yang jelas untuk berbuat demikian, anda tidak akan dikenakan sebarang caj,” kata Trump.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila pengumuman rasmi tarif cip itu akan dibuat atau bila ia akan berkuat kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dalam kenyataan media berkata, Trump memberikan pujian atas pelaburan sebelumnya, tetapi juga mencabarnya untuk berbuat lebih lagi.
“Trump memberikan kata-kata semangat tentang usaha kami sebelum ini. Tetapi beliau juga meminta kami pertimbangkan apa lagi yang boleh kami lakukan. Justeru, kami mengambil cabaran itu dengan serius,” katanya.
Namun, Cook mengakui untuk menghasilkan iPhone yang sepenuhnya dipasang di AS masih sukar dicapai dalam masa terdekat.
Ketika ini, fokus syarikat adalah kepada pengeluaran komponen iPhone di AS, pendekatan yang dilihat berjaya memuaskan hati Trump buat masa ini.
“Lihatlah, Apple tidak membuat pelaburan sebesar ini di mana-mana tempat lain di dunia, tidak pun hampir. Apple kini sedang kembali ke AS,” ujar Trump.
Pelaburan baharu ini turut melibatkan pelancaran ‘Program Pengeluaran di Amerika’ yang bertujuan memindahkan lebih banyak rantaian bekalan Apple ke AS.
Antara syarikat pembekal utama yang terlibat ialah Corning, Coherent, GlobalWafers America, Applied Materials, Texas Instruments, Samsung dan Broadcom.
Apple menjangkakan akan menghasilkan lebih 19 bilion cip untuk produknya pada tahun 2025 menerusi program ini.
Cip-cip ini akan dibuat di 24 kilang yang terletak di 12 negeri seluruh AS.
“Saya bangga untuk mengumumkan Apple kini memimpin penciptaan rantaian bekalan silikon secara menyeluruh di AS daripada reka bentuk, peralatan, wafer, fabrikasi hinggalah pembungkusan,” kata Cook.
Katanya, Apple juga mengembangkan kerjasama secara besar-besaran dengan syarikat pembekal kaca Corning dalam satu pelaburan bagi memastikan setiap iPhone dan Apple Watch yang dijual di seluruh dunia menggunakan kaca muka hadapan yang dihasilkan dari kilang di Kentucky.
Semasa acara di Pejabat Oval, Cook turut menghadiahkan Trump gentian kaca keluaran kilang Kentucky tersebut.
Syarikat itu juga mengukuhkan kerjasama dengan syarikat Coherent, pembekal laser yang digunakan dalam sistem pengecaman wajah Face ID iPhone.
Pentadbiran Trump sejak kebelakangan ini meningkatkan tekanan terhadap syarikat-syarikat teknologi seperti Apple supaya memindahkan pengeluaran produk mereka ke AS dan tidak terlalu bergantung kepada kemudahan pemasangan serta rantaian bekalan yang ketika ini banyak tertumpu di China, India dan Vietnam.


































