HONG KONG: Beberapa kawasan di Hong Kong lumpuh akibat banjir kilat yang melanda pada Selasa susulan amaran hujan tahap tertinggi yang dikeluarkan buat kali keempat dalam tempoh hanya lapan hari.
Menurut Utusan Malaysia, Balai Cuaca Hong Kong mencatatkan jumlah hujan harian tertinggi bagi bulan Ogos sejak mula direkodkan pada 1884, dengan taburan lebih 355 milimeter setakat pukul 2 petang (waktu tempatan).
Sekolah terpaksa ditutup, beberapa perkhidmatan hospital seperti klinik pesakit luar turut terjejas dan pusat perlindungan sementara dibuka bagi menampung penduduk yang terkesan.
Amaran hujan tahap hitam yang menandakan hujan lebat melebihi 70 milimeter dalam tempoh satu jam dikeluarkan lewat malam semalam dan sekali lagi pada awal pagi Selasa.
Amaran itu dijangka berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga pukul 5 petang ini.
Amaran hujan hitam tersebut merupakan yang keempat dalam tempoh hanya lebih seminggu, memecahkan rekod sebelum ini sebanyak tiga kali dalam setahun.
Menurut badan pemantau, lebih 9,600 panahan petir direkodkan antara pukul 5 pagi hingga tengah hari tadi (waktu tempatan).
“Keadaan hujan yang berterusan dijangka menyebabkan banjir serius dan kesesakan lalu lintas,” kata Jabatan Kaji Cuaca dalam satu kenyataan.
Seorang wartawan AFP melaporkan, beberapa bot kecil terbalik di perairan daerah timur Tseung Kwan O manakala beberapa kenderaan hampir tenggelam di tempat letak kereta terbuka berhampiran.
Setiausaha Kedua Hong Kong, Eric Chan menggesa orang ramai agar terus berwaspada dan menasihati majikan supaya mempertimbangkan aturan kerja fleksibel demi keselamatan pekerja.
Perkhidmatan unit kecemasan di Hospital Queen Mary turut terjejas selama lebih dua jam berikutan banjir teruk di beberapa laluan utama, menurut pihak berkuasa kesihatan.
Pengangkutan awam bergerak perlahan di beberapa daerah dan pintu keluar stesen tren bawah tanah turut ditutup.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong melaporkan kelewatan kira-kira 100 penerbangan pada pagi Selasa, dengan satu penerbangan berlepas dan satu ketibaan dibatalkan.
Jabatan Perkhidmatan Saliran mengesahkan 25 kes banjir dilaporkan setakat petang Selasa.


































