HANOI: Utara Vietnam kini bergelut di bawah terik gelombang haba luar biasa, dengan 17 lokasi di tujuh wilayah mencatat suhu tertinggi bagi bulan Ogos, menurut pihak berkuasa.
Menurut Utusan Malaysia, penggunaan elektrik turut melonjak mendadak apabila orang ramai berusaha menyejukkan diri daripada bahang yang melanda.
Suhu memuncak sejak Ahad di seluruh kawasan Delta Sungai Merah yang padat penduduk dan merupakan pusat industri serta pertanian utama negara.
Ibu kota Hanoi turut mencatatkan hari Ogos pertama dalam sejarah yang melebihi 40 darjah Celsius.
Stesen cuaca di pusat bandar Hanoi merekodkan suhu setinggi 40.3 darjah Celsius, mengatasi rekod sebelumnya 39.8 darjah yang dicatat pada Ogos 2021.
Pada Selasa, jalan-jalan yang biasanya sibuk di Hanoi kelihatan lebih lengang apabila penduduk memilih untuk tidak keluar rumah.
Penjual bunga, Ngo Thu Thuy, berkongsi rasa letihnya kepada wartawan AFP setelah mengayuh basikal di bawah panas terik.
“Pendapatan saya merosot kerana tiada siapa yang mahu membeli bunga dalam cuaca sebegini. Tetapi saya tetap perlu berusaha untuk meneruskan hidup,” kata Thuy, 38, yang menutupi seluruh tubuhnya bagi melindungi diri daripada sinaran matahari.
Seorang pekerja binaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nam berkata, terlalu banyak bangunan dan kenderaan menjadikan Hanoi seperti ‘kuali terbakar’ dalam dua hari kebelakangan ini.
Rekod suhu tertinggi yang pernah dicatat semasa gelombang haba pada 2021 dan 2024 dipecahkan di 17 stesen cuaca sekitar utara negara itu.
Di luar Hanoi, stesen-stesen di wilayah Phu Tho, Tuyen Quang, Lang Son, Bac Ninh, Haiphong dan Ninh Binh turut melaporkan suhu Ogos tertinggi yang baharu.
“Lembapan udara di Hanoi dan kawasan Delta pada Isnin hanya mencapai 52 peratus, menyebabkan cuaca terasa sangat kering dan membahang,” kata Ketua Peramal Cuaca Vietnam, Nguyen Van Huong dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar.
Namun, ramalan hujan pada malam Selasa dijangka membawa sedikit kelegaan dengan penurunan suhu.
Syarikat tenaga Vietnam (EVN) melaporkan, penggunaan elektrik di Hanoi mencapai rekod tertinggi sepanjang masa pada pukul 1:28 petang Isnin (waktu tempatan), apabila penduduk menggunakan kipas dan penghawa dingin secara maksimum.
“Saya tidak dapat bayangkan tidur malam tanpa penghawa dingin dalam beberapa hari lepas.
“Agak pelik apabila kita sudah di bulan Ogos, tetapi cuaca masih membahang begini,” kata seorang pekerja pejabat, Dang Xuan Huong.
Walaupun Vietnam mengalami cuaca panas setiap tahun, para saintis menegaskan perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia menyebabkan pola cuaca yang lebih ekstrem dan peningkatan suhu yang ketara.


































