PETALING JAYA: Operasi besar-besaran akan dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara bagi mengesan pemilik kenderaan mewah yang ingkar memperbaharui cukai jalan dan insurans menerusi Op Luxury.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi bersepadu itu menyasarkan pemilik-pemilik kenderaan mewah yang masih berdegil.
“Ketika ini operasi masih berjalan dan JPJ akan mengadakan Ops Luxury besar-besaran dalam masa terdekat di seluruh negara.
“JPJ telah mengenal pasti pemilik serta lokasi kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemilik kenderaan dinasihatkan segera memperbaharui cukai jalan masing-masing sebelum tindakan sitaan dilaksanakan.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk pemilik kenderaan mewah, yang dengan sengaja melanggar peraturan jalan raya,” tegasnya.
Sebelum ini, JPJ memaklumkan memiliki senarai lebih 1,000 kenderaan mewah di seluruh negara yang dikesan tidak memperbaharui cukai jalan untuk tempoh lama.
Malah, sebanyak 53 buah kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit setiap satu telah disita menerusi Ops Luxury yang dijalankan selama tiga hari di sekitar Lembah Klang bermula 30 Julai lalu.
































