Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Polis masih menunggu arahan pejabat Peguam Negara berhubung siasatan ke berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kertas siasatan telah dibawa ke Bukit Aman untuk perhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
“Setakat ini kita belum menerima apa-apa arahan selanjutnya dari pejabat Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Jauteh, secara keseluruhan sebanyak empat laporan polis diterima berhubung kes kematian Zara Qairina termasuk yang dibuat oleh ibunya.
“Satu laporan baru diterima pada hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan empat laporan polis,” jelasnya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ismail memaklumkan polis telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
Beliau berkata, kira-kira 60 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kertas siasatan telah disiapkan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 4 pagi, 16 Julai lalu.
Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.
Jauteh Dikun sebelum ini dilaporkan berkata siasatan polis menjurus kepada dua elemen utama iaitu punca kematian dan keadaan persekitaran mangsa.
































