Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini sekali lagi membuat laporan polis berhubung kematian anaknya pada 16 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, peguam mewakili keluarga mangsa, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri memaklumkan ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45, sudah membuat laporan di Balai Polis Sipitang, Sabah dekat sini kerana mempunyai maklumat tambahan.
Kata kenyataan itu, ibu Zara Qairina telah mengesan kesan lebam di sebahagian besar belakang Zara pada 17 Julai semasa jenazah anaknya dimandikan di Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu, Sabah.
“Anak guam kami melihat sendiri kesan-kesan lebam tersebut kerana dia yang memandikan jenazah Zara bersama beberapa orang wanita lain.
“Laporan dibuat hari ini kerana anak guam kami tidak memasukkan fakta penting ini di dalam laporan-laporan polisnya sebelum ini kerana dia terlupa sepenuhnya mengenainya.
“Beliau hanya teringat semula tentang kesan-kesan lebam ini apabila kami menyoal beliau kelmarin tengahari berkenaan keadaan tubuh anaknya semasa dimandikan olehnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, anak guamnya terlupa berkenaan fakta ini kerana sejak dari kematian anaknya, ibu mangsa terlalu terlalu sedih dengan perkara yang menimpa.
“Anak guam kami percaya kesan-kesan lebam yang dilihatnya itu adalah kesan-kesan kecederaan yang diakibatkan oleh pukulan-pukulan menggunakan objek tumpul ke bahagian belakang mangsa sebelum dia ditemukan di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pihaknya mengambil maklum tentang kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa polis telah selesai menjalankan siasatan kes ini dan kertas siasatan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada minggu hadapan untuk tindakan lanjut.
Namun, perkembangan terbaharu di atas menjustifikasikan pembukaan semula siasatan kes.
“Kubur Zara Qairina perlu digali semula dengan kadar segera dan satu bedah siasat dibuat terhadap tubuhnya untuk menentukan punca sebenar kematian dan sama ada wujud elemen-elemen jenayah yang menyebabkan kematian itu.
“Seperti yang kami nyatakan dalam kenyataan media kami pada 1 Ogos lalu, anak guam kami telah membuat satu laporan polis pada 30 Julai berkenaan rakaman perbualan telefonnya dengan Zara di mana Zara memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan membulinya sehingga ada yang mengugutnya mangsa,” jelasnya.
Kata kenyataan itu, maklumat ini mungkin mempunyai kaitan dengan maklumat terbaharu yang disalurkan oleh anak guam kami kepada polis pada pagi ini.
































