PETALING JAYA: Polis mengesahkan punca kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada khamis lalu disebabkan pelbagai kecederaan pada keseluruhan badan.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, hasil bedah siasatan dijalankan mendapati bahagian kepala bayi berkenaan mengalami patah tengkorak.
Katanya, kecederaan dan kematian itu berpunca dari penderaan dan penganiayaan yang berterusan sejak sebulan yang lalu.
“Siasatan polis mendapati, kecederaan dialami mangsa berpunca bayi berkenaan menangis tidak henti membuatkan ibu angkat berasa tertekan lalu menganiayanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata beliau, suami kepada wanita berkenaan bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat manakala isterinya seorang suri rumah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” ujarnya.
Sebelum ini, pasangan suami isteri ditahan selepas bayi perempuan berusia tujuh bula ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan kebiruan dan lebam di badan di ruang tamu rumahnya.
Satu laporan polis daripada seorang lelaki pada 9.34 malam memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di kediaman mereka tanpa sebab yang tidak diketahui.
Susulan itu, polis menahan pasangan berusia 38 dan 50 tahun itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).
Dalam pada itu, ibu angkat bayi itu didapati positif dadah.
Siasatan awal polis mendapati bayi itu dijaga oleh suspek sejak 18 Jun lalu selepas ibu kandungnya pulang ke Indonesia.
































