CANBERRA: Beberapa bandar di timur Australia dilitupi salji tebal yang jarang berlaku dan terburuk dalam tempoh beberapa dekad.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa memaklumkan, cuaca ekstrem tersebut melanda sejak hujung minggu lalu, menyebabkan banjir, kenderaan terkandas dan gangguan bekalan elektrik kepada ribuan rumah.
Ahli Meteorologi Biro Kaji Cuaca Australia, Miriam Bradbury berkata, gelombang udara sejuk luar biasa menyebabkan salji tebal melebihi 40 sentimeter (sm) turun di bahagian utara New South Wales semalam, paling banyak yang pernah direkodkan sejak pertengahan tahun 1980-an.
Salji turut dilaporkan turun di beberapa kawasan di Queensland, yang juga kali pertama dalam tempoh 10 tahun.
Bradbury berkata, perubahan iklim menjadikan cuaca di Australia semakin tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun fenomena seperti ini pernah direkodkan dalam sejarah.
“Apa yang menjadikan kejadian ini luar biasa bukan sahaja jumlah saljinya, tetapi juga kawasan liputannya yang luas, meliputi sebahagian besar dataran tinggi utara,” katanya.
Sementara itu, hujan lebat yang melanda kawasan lain menyebabkan Perkhidmatan Kecemasan Negeri New South Wales (SES) menerima lebih 1,455 panggilan kecemasan.
Agensi itu memaklumkan, lebih 100 kenderaan terkandas akibat salji dengan ribut yang merosakkan bangunan dan beberapa amaran banjir besar dikeluarkan.
Puluhan ribu kediaman terputus bekalan elektrik semalaman, menurut penyiar nasional Australian Broadcasting Corporation (ABC).
Polis di New South Wales, negeri paling ramai penduduk di Australia memaklumkan sebuah kereta terkandas dalam banjir malam tadi, dan seorang penumpang wanita dalam lingkungan 20-an dihanyutkan arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan hari ini.


































