PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenakan tindakan kompaun terhadap fasiliti kesihatan swasta yang gagal mematuhi peraturan pemaparan harga ubat mulai 1 Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, KKM dalam kenyataan memaklumkan, fasa penguatkuasaan pendidikan akan diteruskan sehingga 30 September depan menerusi lawatan pemeriksaan dan sesi advokasi.
Katanya, surat peringatan boleh dikeluarkan kepada premis yang masih gagal mematuhi keperluan tersebut.
“Namun, mulai 1 Oktober 2025, kompaun boleh dikenakan terhadap kesalahan yang berulang.
“Penguatkuasaan penuh pula akan bermula pada 1 Januari 2026,” katanya hari ini.
Inisiatif pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti mula dilaksanakan sejak 1 Mei lalu mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 [P.U.(A) 141/2025] di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
Langkah ini merupakan kerjasama strategik antara KKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dalam usaha meningkatkan ketelusan harga dan melindungi pengguna daripada pencatutan.
KKM berkata, sepanjang tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan, sebanyak 842 fasiliti terdiri daripada klinik perubatan, klinik pergigian, hospital swasta dan farmasi komuniti telah diperiksa.
“Hasilnya, sebanyak 57 peratus mematuhi keperluan pemaparan harga ubat dengan tahap kepatuhan yang memuaskan,” katanya.
Sementara itu, KKM dan KPDN turut memaklumkan bahawa tiada perintah mahkamah setakat ini untuk menangguhkan penguatkuasaan perintah tersebut.
Ia meskipun tujuh pertubuhan pengamal perubatan dan seorang doktor swasta telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
“Perintah P.U.(A) 141/2025 masih sah dan kekal berkuat kuasa,” jelas kenyataan itu.
KKM menegaskan komitmen untuk melaksanakan peraturan ini secara inklusif, berfasa dan berhemah demi memastikan pengguna mendapat manfaat dan kepercayaan terhadap sistem kesihatan negara terus diperkukuh.
































