David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) cawangan Sabah menggesa penghentian segera konflik bersenjata yang sedang berlaku antara Thailand dan Kemboja, sambil menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan yang dialami orang awam akibat pertempuran itu.
Pengerusinya, David Chan berkata, perang tidak membawa sebarang kebaikan, sebaliknya hanya mengundang kemusnahan serta kesengsaraan yang amat dasyat kepada rakyat biasa, khususnya golongan paling terdedah seperti wanita, kanak-kanak dan warga emas.
“Dalam setiap konflik, orang awam sentiasa menjadi mangsa utama. Rumah musnah, ribuan keluarga dipindahkan, dan nyawa tidak berdosa terkorban. Ini adalah tragedi kemanusiaan yang tidak seharusnya berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, YPNM Sabah menyeru Kerajaan Thailand dan Kemboja agar benar-benar komited menamatkan keganasan serta mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata yang telah dicapai baru-baru ini.
Chan turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas inisiatif diplomatik beliau menganjurkan rundingan gencatan senjata antara kedua-dua negara yang diadakan di Putrajaya.
“Langkah tegas dan tepat pada masanya oleh Perdana Menteri telah berjaya meredakan ketegangan serta mengelakkan konflik daripada terus memuncak, sekali gus menyelamatkan banyak nyawa orang awam,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan rundingan tersebut bukan sahaja merupakan kemenangan dari sudut diplomasi, tetapi juga mencerminkan tanggungjawab moral dan solidariti serantau yang dituntut oleh ASEAN.
“Gencatan senjata ini adalah bukti bahawa keamanan masih boleh dicapai jika ada kemahuan politik dan kesungguhan untuk berdialog,” ujarnya.
YPNM Sabah turut menyeru masyarakat antarabangsa, negara-negara anggota ASEAN, serta agensi kemanusiaan agar terus menyokong usaha-usaha perdamaian yang sedang dijalankan, selain memainkan peranan aktif dalam memantau pematuhan gencatan senjata.
Chan berkata, bantuan segera juga perlu disalurkan kepada mangsa yang terjejas, sambil menekankan bahawa keamanan berkekalan hanya boleh dibina melalui dialog, saling menghormati dan pembinaan kepercayaan antara negara.
“Kami berharap gencatan senjata ini bukan sekadar jeda dalam pertempuran, tetapi langkah pertama ke arah penyelesaian damai yang menyeluruh dan berpanjangan,” katanya.
YPNM Sabah sebelum ini aktif dalam menyuarakan isu-isu melibatkan hak asasi manusia dan perlindungan awam dalam situasi bencana serta konflik, sejajar dengan prinsip kemanusiaan sejagat dan peranan organisasi masyarakat sivil.
































