Anggota polis membawa Siti Anis Phua Abdullah (tengah) untuk didakwa atas pertuduhan mencederakan suaminya menggunakan pisau di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan kelmarin.
KOTA BHARU: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas pertuduhan mencederakan suaminya menggunakan pisau di Kampung Cherang Hangus, Bachok, dekat sini, Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Siti Anis Phua Abdullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan suaminya menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Kampung Cherang Hangus, Bachok, kira-kira pukul 2 petang pada 26 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Amani Wan Azimin.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh. Wan Amani memohon ikat jamin paling minimum memandangkan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan tahun.
“Anak guam saya turut mempunyai masalah kesihatan iaitu penyakit kolesterol dan diabetes yang memerlukan rawatan selain pengambilan ubat,” ujarnya.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang diterapkan mahkamah.


































