JAKARTA: Sekumpulan penyelidik dari Indonesia menemukan satu lagi spesies baharu cendawan morel di Rizab Biosfera Gunung Rinjani, yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Barat (NTB), menurut kenyataan seorang penyelidik pada Isnin.
Spesies tersebut yang dinamakan secara saintifik sebagai Morchella rinjaniensis ditemui di lereng Gunung Rinjani, Pulau Lombok oleh penyelidik daripada Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN).
Menurut Utusan Malaysia, Atik Retnowati dari Pusat Penyelidikan Biosistemik dan Evolusi BRIN berkata, cendawan itu memiliki ciri-ciri unik yang tidak terdapat pada spesies Morchella lain.
“Spesies ini mempunyai gabungan morfologi dan ciri molekul yang berbeza berbanding spesies Morchella yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau turut menjelaskan analisis genetik ke atas empat gen utama menunjukkan perbezaan ketara antara spesies baharu itu dengan Morchella lain yang telah dikenal pasti sebelum ini.
“Oleh itu, secara saintifiknya ia boleh diklasifikasikan sebagai satu spesies baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, cendawan Morchella rinjaniensis ini mampu tumbuh sehingga 19 sentimeter tinggi dan mempunyai bentuk badan buah yang bercorak lubang tidak sekata serta menghasilkan spora bersaiz besar.
Penemuan ini menambah kepada khazanah biodiversiti Indonesia yang sememangnya kaya dengan pelbagai flora dan fauna unik, khususnya di kawasan pergunungan yang sering menjadi habitat kepada spesies tumbuhan jarang ditemui.
































