Barbados threadsnake hanya mampu membesar sehingga 10 sentimeter panjang dan selebar sehelai spageti.
BRIDGETOWN: Spesies ular terkecil di dunia yang sebelum ini disangka sudah pupus, iaitu Barbados threadsnake, ditemuikan semula selepas lebih dua dekad tidak kelihatan, sekali gus memberi harapan baharu kepada usaha pemuliharaan spesies terancam di pulau Caribbean itu.
Menurut Utusan Malaysia, penemuan semula reptilia bersaiz halus ini dilakukan oleh Kementerian Alam Sekitar Barbados bersama pertubuhan pemuliharaan antarabangsa, Re:wild, dalam satu tinjauan ekologi yang dijalankan pada Mac lalu di bahagian tengah pulau tersebut.
Barbados threadsnake atau nama saintifiknya ‘Tetracheilostoma carlae’, hanya mampu membesar sehingga 10 sentimeter panjang dan selebar sehelai spageti serta sebelum ini, ia tersenarai dalam senarai global lebih 4,800 spesies tumbuhan, haiwan dan kulat yang telah hilang daripada sains.
Pegawai projek Kementerian Alam Sekitar Barbados, Connor Blades, berkata populasi ular tersebut yang sangat jarang ditemui menimbulkan kebimbangan terhadap kebolehannya untuk membiak.
“Jika populasi threadsnake ini terlalu kecil, saya bimbang ia sukar untuk mencari pasangan, lebih-lebih lagi jika habitatnya semakin musnah dan terancam,” katanya.
Beliau dan Justin Springer, pegawai program Caribbean di Re:wild, telah menjalankan pencarian selama lebih setahun bagi mengesan semula ular ini dan beberapa spesies reptilia endemik lain sebagai sebahagian daripada projek pemuliharaan.
Ular tersebut kemudian dibawa ke Universiti Hindia Barat untuk dianalisis secara mikroskopik, yang mengesahkan ciri-ciri khasnya seperti garisan jingga pudar pada badannya dan sisik kecil di hujung hidung membuktikan ia sememangnya Barbados threadsnake yang dicari.
Rekod pertama penemuan spesies ini ialah pada tahun 1889, dan hanya beberapa penemuan disahkan sejak itu.






























