Ellron bergambar kenangan bersama JKKK dan wakil penduduk lapan buah kampung.
SOOK: Penduduk dari lapan buah kampung yang menetap dalam kawasan konsesi tanah milik Yayasan Sabah melalui anak syarikatnya kini boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri secara rasmi meluluskan pengeluaran tanah tersebut untuk diberikan kepada mereka sebagai hak milik yang sah.
Menteri Belia dan Sukan yang juga ADUN Sook Datuk Ellron Angin mengumumkan perkara ini pada satu perjumpaan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk dari Mukim Dalit dan Mandalom, yang diadakan di Dewan Belia Kampung Biah Tengah, hari ini.
Perjumpaan ini adalah susulan daripada sesi pertama yang berlangsung pada 22 Mei 2025, bagi menyampaikan maklum balas rasmi berkaitan status tanah Hutan Simpan Mandalom yang telah lama dihuni oleh penduduk kampung.
Dalam ucapannya, Ellron memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengeluarkan kawasan penempatan dan permohonan tanah daripada konsesi yang dimiliki beberapa anak syarikat Yayasan Sabah, dan menyerahkan semula tanah tersebut kepada penduduk sebagai hak milik sah.
“Tanah ini adalah warisan hidup. Ia bukan sekadar tapak rumah, tetapi simbol perjuangan dan pengorbanan. Saya menyeru agar tanah ini dijaga dengan penuh tanggungjawab dan dibangunkan demi masa depan generasi akan datang,” tegas beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan ini adalah hasil prinsip keadilan dan keprihatinan terhadap komuniti luar bandar yang telah sekian lama menghuni, mengusahakan dan membesarkan keluarga mereka di atas tanah berkenaan.
Ellron turut memaklumkan bahawa beliau telah diberi mandat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah pada 23 Julai 2025 untuk menyampaikan pengumuman penting ini kepada rakyat, sebagai bukti bahawa suara mereka bukan sekadar didengar, tetapi turut diperjuangkan.
“Buktinya, hari ini saya membawa sendiri khabar gembira bahawa tanah yang dipohon dan dihuni sejak sekian lama akan dikeluarkan daripada konsesi. Kini kita menunggu perincian dan kajian teknikal daripada Jabatan Tanah dan Ukur untuk menentukan senarai individu yang terlibat.”
Beliau turut menyeru penduduk yang terlibat agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib supaya proses pemilikan tanah dapat dilaksanakan dengan lancar dan adil.
Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah wakil-wakil penduduk yang menyatakan rasa syukur atas pengumuman ini.
Ulian Antawor yang berasal dari Kampung Dalit Laut amat berterima kasih atas usaha dan komitmen Ellron serta Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Pengeluaran tanah ini pastinya memberikan manfaat buat anak cucu kami,” katanya.
Felicia Elong dari Kampung Malaing turut berkongsi kegembiraannya, berkata, keputusan ini sangat melegakan mereka sebagai penduduk asal yang telah lama membina penempatan di sini. “Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas keprihatinan membela hak kami.”
Ellron turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus komited membela nasib rakyat luar bandar, memastikan mereka tidak terpinggir dalam pembangunan negeri serta meminta agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan tidak berasas bahawa isu ini diabaikan.






























