Janathan Kandok
KOTA MARUDU: Rekod pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor membuktikan keberkesanan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi pencapaian ekonomi dan hasil pembangunan yang dirasai rakyat.
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) yang juga Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tandek Datuk Dr Janathan Kandok berkata prestasi Kerajaan Negeri perlu dinilai berdasarkan fakta, data sahih dan impak sosioekonomi, bukannya retorik politik atau persepsi.
Beliau menyelar dakwaan pembangkang dan pengkritik luar yang melabelkan pentadbiran GRS sebagai gagal, sambil menyifatkannya sebagai naratif politik yang mengaburkan kemajuan sebenar negeri.
“Matematik pembangunan tidak pernah bohong. Untuk nilai prestasi Kerajaan GRS mesti berasaskan data sahih, impak sosioekonomi nyata, dan tahap kesejahteraan rakyat, bukan melalui momokan retorik serta penulisan berunsur persepsi menjelang pilihan raya,” katanya.
Menurut Janathan, SMJ yang digagaskan Kerajaan Negeri bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya kerangka strategik yang bertujuan mentransformasikan landskap ekonomi dan memperkukuh kedaulatan sumber Sabah.
Beliau berkata, dakwaan kononnya hasil negeri dijual tidak berasas kerana Sabah menerusi SMJ Energy Sdn Bhd berjaya memperoleh pegangan ekuiti strategik dan hak kawal selia utama dalam industri minyak dan gas.
Ini termasuk pemilikan ekuiti dalam Lapangan Semarang, SAMUR dan PFLNG 3, selain Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS.
Beliau turut merujuk kenyataan Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun berhubung perkara itu.
Janathan berkata dakwaan berkaitan kebankrapan agensi dan kelemahan fiskal juga bercanggah dengan rekod kewangan rasmi negeri, yang menunjukkan kutipan hasil tahunan dan rizab tunai Sabah meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah.
“Bila hasil tinggi, kerajaan semakin kayalah, jadi kebajikan untuk warga akar umbi dapat dilakukan secara berterusan,” katanya.
Menurutnya, peningkatan kekayaan negeri turut disalurkan kepada rakyat menerusi pelbagai program berimpak tinggi seperti pembinaan Rumah Mesra SMJ, bantuan tunai SYUKUR, penajaan modal insan serta pembangunan prasarana sosioekonomi tempatan termasuk di Kota Marudu.
Beliau yakin rakyat Sabah, khususnya di kawasan Kota Marudu, semakin matang dan bijak menilai rekod khidmat bakti kerajaan berbanding propaganda politik menjelang pilihan raya.
“Kerajaan GRS kekal fokus memikul amanah, mentadbir dengan berwibawa, dan memastikan setiap titis kekayaan hasil bumi Sabah dipulangkan semula demi mengangkat martabat serta taraf hidup seluruh warga Sabah,” katanya.






























