Halizah (kiri) bersama pengunjung di reruai SAFMA semasa pameran jualan BigSabah Sale 2026 di SICC.
KOTA KINABALU: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) memperluas konsep Ikan Rakyat Sabah bagi menawarkan ikan berkualiti pada harga berpatutan kepada pengguna.
Ahli Lembaga Pengarah SAFMA Halizah Din berkata inisiatif itu dirangka bagi memperkukuh hubungan antara hasil perikanan tempatan, nelayan, pengusaha dan masyarakat.
“Kita mahu hasil laut, khususnya ikan yang menjadi sumber protein harian rakyat, dapat dibeli pada harga yang berpatutan dan murah,” katanya ketika ditemui pemberita di reruai SAFMA semasa pameran jualan BigSabah Sale 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Menurut Halizah, inisiatif itu turut memberi peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan ikan dengan lebih mudah, selain mengenali kepelbagaian hasil perikanan Sabah.
“Ikan merupakan sumber makanan penting dan sebahagian daripada kehidupan masyarakat, khususnya komuniti pesisir pantai.
“Pada masa sama, sektor perikanan menjadi sumber mata pencarian nelayan serta pengusaha yang terlibat dalam rantaian bekalan dan pemasaran hasil laut,” katanya.
Beliau berkata SAFMA kekal komited membekalkan hasil laut yang segar pada harga berpatutan, selain menyokong kelestarian industri perikanan di Sabah.
“SAFMA sentiasa berusaha memperluas akses kepada hasil perikanan tempatan, sekali gus membantu meningkatkan penghargaan pengguna terhadap hasil laut Sabah dan menyokong kesinambungan industri berkenaan.
“Konsep ini juga membawa aspirasi supaya bekalan ikan dapat dipasarkan dengan lebih tersusun dan memenuhi keperluan pengguna,” katanya.
Selain jualan ikan, reruai SAFMA turut menyediakan pameran maklumat mengenai perkhidmatan syarikat serta kaunter pendaftaran Rakan Niaga SAFMA.
Pengunjung juga boleh mendapatkan penerangan mengenai peluang kerjasama dalam rangkaian pemasaran hasil perikanan.
































