KOTA KINABALU (Bernama): Sebanyak 1,105 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Sabah menerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 secara sekali beri sebagai inisiatif kerajaan untuk meringankan beban penggiat sektor pengangkutan awam negeri.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan terhadap kebajikan pemandu yang berdepan dengan pelbagai cabaran operasi harian.
“Hari ini, sebanyak 160 orang hadir menerima bantuan daripada lebih 1,000 penerima di Sabah, dan memandangkan bukan mudah untuk semua hadir, bantuan akan disalurkan terus ke akaun penerima secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di sini, hari ini.
Beliau berkata kaedah agihan terus ke akaun itu dilaksanakan bagi memastikan inisiatif kebajikan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap pemandu yang layak di seluruh negeri tanpa kekangan logistik.
Phoong berkata kerajaan sentiasa komited memastikan tiada penggiat dalam sektor pengangkutan awam tercicir daripada inisiatif bantuan serta pelan penambahbaikan industri yang dilaksanakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada bulan lepas mengumumkan bantuan kewangan tersebut sebagai langkah kerajaan memulangkan hasil negara kepada rakyat.
Mengulas cabaran semasa, Phoong berkata perkhidmatan teksi konvensional yang telah lama beroperasi kini berdepan dengan kekangan getir berikutan usia kenderaan yang sebahagian besarnya sudah lama serta uzur.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional yang digerakkan kerajaan dapat memberikan manfaat langsung dalam membantu memodenkan kenderaan penggiat sektor berkenaan.
Mengenai mobiliti bandar, Phoong berkata penambahan laluan perkhidmatan Bas Pink sedang giat dirancang di kawasan berkepadatan tinggi termasuk jajaran Hospital Likas dan Klinik Kesihatan Luyang.
Bagaimanapun, katanya, beberapa prosedur operasi serta urusan kelulusan teknikal perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum laluan baharu bas berkenaan mula beroperasi sepenuhnya.
“Saya akan pastikan perkhidmatan bas ini bukan sekadar syok sendiri, sebaliknya memastikan laluan tersebut benar-benar masuk ke lokasi yang memerlukan perkhidmatan,” katanya.
Inisiatif pengangkutan awam menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) atau BAS My yang dikenali sebagai Bas Pink itu telah dilancarkan di bandar raya ini pada 27 Sept tahun lepas. — BERNAMA
































