Wong menyampaikan sumbangan kepada penerima.
KOTA KINABALU: Unit Kebajikan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyantuni sembilan penerima, termasuk pesakit kronik dan keluarga yang memerlukan, menerusi lawatan kebajikan serta penyampaian sumbangan di sekitar kawasan Parlimen Sepanggar dan Tuaran, semalam.
Program diketuai Pengerusi Unit Kebajikan Wanita GRS Datin Mary Wong itu turut melibatkan warga emas, pesakit buah pinggang kronik, pesakit strok dan masalah salur darah, serta seorang bayi yang memerlukan penjagaan susulan selepas menjalani rawatan berkaitan retinopathy of prematurity (ROP).
Sebahagian penerima perlu menjalani rawatan dialisis sehingga tiga kali seminggu, manakala yang lain memerlukan bantuan bagi memenuhi keperluan harian serta sokongan kebajikan berterusan.

Datin Mary berkata program berkenaan bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi turut bertujuan memahami keadaan sebenar pesakit dan keluarga supaya bantuan yang disalurkan bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Bagi mereka yang sedang berdepan ujian kesihatan dan kesulitan hidup, kehadiran insan yang mengambil berat serta sudi menghulurkan bantuan pasti membawa makna tersendiri,” katanya.
Menurutnya, lawatan itu juga memberi peluang kepada pihaknya mendengar sendiri cabaran yang dihadapi pesakit dan keluarga, selain mengenal pasti bentuk bantuan susulan yang boleh diusahakan melalui saluran berkaitan.
Turut menyertai program itu ialah Setiausaha Wanita GRS Salmah Sait; Setiausaha Kerja Wanita GRS Fariza Jimmy; serta ahli jawatankuasa Unit Kebajikan Wanita GRS Rizawani Fiona Heng, Risna Ullap, Datuk Marsya dan Ratna Dewi Rostan.
































