Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Wisma Putra diarah untuk meneliti dan memantau perkembangan konflik sempadan membabitkan Thailand dan Kemboja ekoran terdapat isyarat positif daripada kedua-dua negara berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan terdapat perkembangan yang baik daripada panggilan telefonnya dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, semalam.
“Perdana Menteri memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa terdapat isyarat positif dan kesediaan yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua Bangkok serta Phnom Penh.
“Perdana Menteri sudah meminta supaya Wisma Putra meneliti dan memberikan maklumat terkini hasil daripada perbincangan di antara Thailand dan Kemboja,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Menteri Komunikasi itu berkata, berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh Menteri Luar, Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN memainkan peranan dalam meredakan konflik di antara kedua-dua negara berkenaan.
“Itu sebab kenapa panggilan kepada kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Kemboja diadakan semalam.
“Pada waktu ini, terdapat kesediaan antara kedua-dua Perdana Menteri untuk mengumumkan gencatan senjata dan kita menunggu kenyataan daripada kedua-dua Perdana Menteri terbabit. Ini antara peranan yang dimainkan oleh Malaysia selaku pengerusi ASEAN,” katanya.
Sebelum ini, Tentera Thailand dan Kemboja dilaporkan bertempur di kawasan pertikaian sempadan bersama dengan kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei lalu, susulan satu insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Kedua-dua negara berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

































