PETALING JAYA: Seorang pegawai penguat kuasa direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM8,000 semasa bertugas di kaunter ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Utusan Malaysia, penahanan lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dibuat kira-kira pukul 3 petang semalam di tempat suspek bertugas.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima wang rasuah tersebut ketika sedang bertugas dan perbuatannya dikesan melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan wang berjumlah kira-kira RM8,000 di dalam poket seluar suspek dan disyaki wang rasuah tersebut adalah hasil daripada kegiatan counter setting,” kata sumber.
Perintah reman selama lima hari sehingga 29 Julai ini dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam dekat sini, pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

































