Suasana lampu solar yang siap dipasang disalah sebuah kampung di DUN Merotai
TAWAU : Sebanyak 18 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai menikmati kemudahan pemasangan ‘Lampu Solar’ sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan serta kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah berkata, pemasangan ini secara tidak langsung dapat memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pejalan kaki di kawasan tidak mempunyai kemudahan lampu jalan.
Katanya, sehingga kini lebih 300 lampu solar dipasang membabitkan 18 kampung dilakukan secara berperingkat-peringkat sejak mula dilaksanakan dua tahun lalu.
“Kita melihat sebelum ini laluan jalan masuk ke kawasan kampung serta lorong sangat gelap khususnya pada waktu malam, ini boleh membahayakan keselamatan penduduk.
“Jadi, kita mengambil inisiatif untuk memasang lampu solar untuk membantu memberikan kawasan ini terang serta memudahkan penduduk kampung dalam menjalankan urusan mereka terutama pada waktu malam,” katanya.
Liew berkata, lampu solar dipilih kerana ia menjimatkan kos, tidak memerlukan penyambungan bekalan elektrik serta boleh berfungsi sekiranya tiada bekalan elektrik.
“Kebanyakan kawasan kampung di DUN Merotai ini tidak mempunyai kemudahan lampu jalan. Ketiadaan lampu jalan dilihat boleh menimbulkan kebimbangan penduduk terutama ketika hujan atau waktu lewat malam.
“Kita akan mengenal pasti beberapa lokasi lain di kawasan DUN Merotai yang memerlukan lampu solar dan akan mempertimbangkan pemasangan fasa seterusnya bergantung kepada keperluan serta maklum balas penduduk,” jelas Liew.
Menurutnya, antara kampung menerima pemasangan lampu ini termasuklah Kuala Merotai; Kampung Iban Baharu dan Lama; Sungai Udin; Kampung Langsat; Kampung Jagung; Kampung Kijang; Kampung Pengkalan Asli; Kampung Tanah Merah; Kampung Simpang Tiga; Kampung Mangaris serta Kampung Kelapa.
Selain itu, Kampung Melati Burut; Kampung Hulu Haji Matahir; Kampung Haji Matahir; Kampung Beruang; Kampung Sungai Imam; Kampung Seri Bombalai dan Kampung Sungai Imam Bombalai Laut.
“Ini adalah usaha berterusan serta sebagai satu tanggungjawab sosial kepada penduduk kampung di DUN Merotai.
“Kita berharap agar inisiatif ini dapat meningkatkan keyakinan penduduk kampung serta semua pengguna jalan khususnya di DUN Merotai,” katanya.
Liew mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk ahli Parti Harapan Rakyat yang menguruskan pemasangan ini secara bergotong-royong.