BEIJING: Seorang wanita berusia 37 tahun di Jilin, China, menjadi tular selepas mendedahkan tidak pernah mencuci solekan dengan betul selama lebih dua dekad, sehingga akhirnya menyebabkan ruam teruk pada wajah.
Menurut Utusan Malaysia, wanita dikenali sebagai Gao itu berkongsi kisahnya di media sosial sebagai peringatan kepada orang ramai supaya membersihkan wajah dengan betul setiap kali bersolek.
Menurutnya, dia gagal berbuat demikian selama lebih 20 tahun, yang akhirnya mengakibatkan reaksi alagan serius sehingga wajah membengkak dan mengalami keradangan.
Gao berkata, dia mula menggunakan gincu ibunya ketika usia remaja dan bersolek sejak berumur 15 tahun.
Namun, dia menganggap proses mencuci solekan sebagai sesuatu yang menyusahkan.
“Saya menganggap kalau esok nak bersolek lagi, buat apa susah-susah tanggalkan solekan hari ini,” katanya yang hanya membilas wajah dengan air sebelum tidur dan memakai solekan baharu keesokan harinya.
Walaupun pernah berdepan masalah jerawat selama bertahun-tahun, Gao berkata, kulitnya masih dalam keadaan baik sehingga awal tahun ini, dia mengalami reaksi alahan serius yang menyebabkan wajah membengkak dan berubah bentuk sehingga tidak dapat dikenali.
Tidak mendapatkan rawatan daripada pakar dermatologi, Gao sebaliknya memilik untuk pergi ke sebuah klinik estetik perubatan bagi mendapatkan suntikan ‘skin booster’.
Suntikan tersebut hanya memburukkan keadaan, malah menyebabkan kulitnya bertukar keunguan.
“Gatalnya tidak tertahan, saya berkurung di rumah setiap hari. Saya tidak berani keluar.
“Seluruh wajah berkedut dan hodoh. Paling teruk, rasanya seperti ribuan semut kecil merayap di muka,” katanya dalam video tular di media sosial.
Membesar dalam keluarga sederhana, Gao kadangkala menggunakan bedak asas murah, yang disyaki menyumbang kepada keadaan kulitnya sekarang.
Namun, pakar dermatologi meragui solekan boleh menyebabkan simptom seteruk itu, sebaliknya percaya ia mungkin berpunca daripada faktor lain seperti rosacea dan dermatitis.


































