Noor Azman Rahman
PETALING JAYA: Kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun ini tidak dianjurkan bagi memberi laluan kepada skuad Harimau Malaya membawa cabaran Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memberi membolehkan skuad kebangsaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada CAFA 2025.
Katanya, CAFA 2025 akan berlangsung pada hujung Ogos sehingga September ini yang menyaksikan Malaysia diundang khas sebagai pasukan jemputan dalam kejohanan berkenaan.
“Untuk tahun ini, Pestabola Merdeka tidak dianjurkan kerana kita akan sertai Piala CAFA 2025. Jadi persiapan kita lebih terarah kepada kejohanan itu,” katanya ketika ditemui pemberita.
Saingan Pestabola Merdeka kembali dianjurkan sejak dua tahun lalu bermula 2023 selepas kali terakhir diadakan pada 10 tahun lalu.
Pada 2023, Tajikistan muncul juara selepas menewaskan Harimau Malaya di pentas final sebelum tahun lalu menyaksikan Malaysia kembali bergelar juara dengan menewaskan Lubnan 1-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kejohanan Pestabola Merdeka yang bermula sejak 1957 merupakan antara kejohanan tertua dan berprestij di rantau Asia Tenggara dan sering menjadi medan pemanas badan skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, penyertaan dalam kejohanan CAFA yang menghimpunkan pasukan ranking lebih tinggi bakal memberi pengalaman berharga buat skuad kendalian Peter Cklamovski.
CAFA 2025 akan berlangsung di Tajikistan dan menyaksikan Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama gergasi Asia, Iran selain Afghanistan dan pasukan tuan rumah, Tajikistan.
Harimau Malaya dijadual membuka kempen menentang Tajikistan pada 29 Ogos, sebelum berdepan Iran pada 1 September dan menutup aksi kumpulan menentang Afghanistan pada 4 September.
Penyertaan dalam CAFA 2025 dilihat sebagai platform terbaik buat Harimau Malaya menguji kekuatan menjelang baki kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang dijangka yang lebih kompetitif.
































