KUALA TERENGGANU: Seorang guru tadika berputih mata selepas wang hasil gadaian barang kemas dan pinjaman daripada rakannya berjumlah RM108,703 lesap akibat terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, wanita berusia 32 tahun itu tampil membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, petang semalam, selepas menyedari ditipu sindiket itu.
Katanya, wanita itu mendakwa dia dihubungi seorang lelaki pada 20 Jun lalu yang memberitahu dia memenangi hadiah sebagai pelanggan bertuah yang berupa barangan dapur.
“Selepas barangan dapur itu dihantar ke rumahnya pada 28 Jun lepas, suspek meminta mangsa memberi maklum balas berkenaan barangan yang dimenanginya itu dan meminta nombor akaun e-dompet mangsa untuk menghantar RM8. Mangsa kemudian diberikan tugasan seperti menekan pautan produk dan dijanjikan ganjaran lain,” katanya kelmarin.
Azli berkata, pada 1 hingga 3 Julai lalu, wanita itu membuat pindahan wang kepada suspek atas dasar tugasan dan denda kerana lambat menyelesaikan tugasan yang diberikan. Pada 4 Julai lalu, wanita itu kemudian diminta membuat pindahan tambahan sebanyak RM75,000 oleh suspek.
“Wanita itu kemudiannya membuat permohonan pinjaman segera dengan dua ejen dan dia membuat bayaran deposit ke lima akaun yang berbeza. Bagaimanapun wang pinjaman itu tidak diterima dan dia menyedari dia tertipu serta kerugian sebanyak RM108,703,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


































