PETALING JAYA: Pencapaian kontinjen negara dalam sukan olahraga dan renang pada Sukan SEA 2025 di Thailand menjadi cerminan kepada keupayaan Malaysia untuk berada di kedudukan terbaik keseluruhan sebelum menganjurkan temasya dwitahunan itu pada 2027.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan tiga edisi terdahulu sukan renang yang didominasi Singapura menyaksikan Malaysia hanya mampu membawa pulang dua pingat emas pada Sukan SEA 2019 dan masing-masing satu emas pada edisi 2021 dan 2023.
Olahraga pula, Malaysia konsisten membawa pulang lima emas sejak edisi 2019 sedangkan kedua-dua sukan tersebut menawarkan kutipan pingat yang banyak dan melihat kepada situasi tersebut, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli mengakui ia sesuatu yang wajar dibimbangkan.
“Sukan olahraga menawarkan 48 pingat emas manakala renang 39 emas pada edisi 2023. Renang kita kena dapatkan banyak pingat (emas) sebab itu bakal menjadi gambaran kepada negara sama ada kita boleh dapat lebih pingat atau tidak apabila menganjurkannya nanti.
“Kalau setakat satu atau dua pingat emas di Thailand, itu akan jadi kebimbangan. Dua acara sukan ini perlu diberi perhatian kerana ia boleh menentukan kedudukan negara secara keseluruhan apabila kita menganjurkannya.
“Jadi, Sukan SEA 2025 bakal memberi gambaran sama ada adakah kita sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah, dan jika masih bertungkus-lumus maka susahlah kita nanti,” katanya.
Katanya lagi, Malaysia wajar memperbaiki kedudukan keseluruhan berbanding edisi 2023 yang menyaksikan kontinjen negara menamatkan temasya dwitahunan itu di kedudukan ketujuh dengan 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa.
Sukan SEA 2025 di Thailand bakal menawarkan 50 jenis sukan termasuk empat demo yang membabitkan 574 acara keseluruhan dengan pecahan 277 acara lelaki, 240 wanita dan 57 campuran.
































