Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. telah membayar deposit sebanyak RM35 juta sebagai komitmen awal terhadap pelaburan berskala besar mereka di Sabah, khususnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pembayaran tersebut dibuat susulan pemeteraian Perjanjian Penyewaan Tanah untuk pembangunan Fasa 2 dan Fasa 3 SOGIP pada 31 Disember 2024.
“Langkah ini membuktikan keyakinan Esteel terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Sabah dan komitmen mereka untuk memperluaskan kapasiti operasi di negeri ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Jannie Lasimbang (Kapayan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Phoong berkata, syarikat berkenaan telah menunjukkan tindakan proaktif sejak menerima Lesen Pengilangan (FML) pada Januari 2025.
Katanya, pada Februari 2025, Esteel memeterai Perjanjian Bekalan Gas Asli bersama Sabah Energy Corporation (SEC) dan PETRONAS bagi menjamin sumber tenaga stabil untuk operasi kilang pembuatan keluli hijau di SOGIP.
“Langkah ini penting bagi memastikan keperluan utiliti asas mencukupi untuk menyokong pelaburan berimpak tinggi tersebut,” jelas beliau.
Menurut Phoong, selepas menyempurnakan reka bentuk semula projek untuk menampung skala operasi yang diperluas, Esteel telah melaksanakan proses pembidaan kontraktor secara telus dan kompetitif pada Mac dan April 2025 bagi pembinaan jeti persendirian.
Hasilnya, Esteel menandatangani Kontrak Pembinaan Jeti Fasa 1 dengan China Communications Construction Company (CCCC) pada 30 Mei 2025, bersempena dengan Majlis Pelancaran Rasmi Projek Pelaburan Fasa 1 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.
“Ini menjadi penanda aras penting kepada pelaksanaan fasa penyediaan infrastruktur sokongan,” katanya.
Phoong turut memaklumkan beberapa kemajuan penting lain termasuk kelulusan Pelan Pembangunan (DP) kilang oleh Majlis Daerah Sipitang, semakan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, serta kelulusan Pelan Kerja Tanah.
“Syarat-syarat EIA juga telah ditandatangani sebagai komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar sepanjang tempoh projek,” tambahnya.
Untuk mempercepatkan pembangunan, Esteel telah memuktamadkan kontrak bagi kerja-kerja pembersihan dan penyediaan tapak projek. Setakat ini, kerja pembersihan dan penyediaan tapak sedang giat dijalankan.
“Pelabur menjangkakan perubahan fizikal tapak dapat dilihat menjelang Julai dan Ogos 2025, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat dalam merealisasikan pembangunan industri keluli hijau bersepadu di Sabah,” katanya.
Phoong berkata, pelaburan ini bukan sahaja meningkatkan nilai pelaburan asing, tetapi turut membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan dan merangsang pertumbuhan sektor hiliran serta ekosistem industri sokongan.
“Kementerian saya akan terus menyelaras dan memudahcara pelaksanaan pelaburan ini agar kilang dapat beroperasi secepat mungkin,” katanya.


































