James Ratib
KOTA KINABALU: Bilangan pusat jagaan harian khusus untuk warga emas dan OKU di bandar-bandar utama akan dipertingkatkan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Menurutnya, Kementerian beliau melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) telah pun merancang untuk menambah bilangan pusat-pusat berkenaan di Sandakan dan Kota Kinabalu.
“Di Sandakan, kita akan membina Kompleks Latihan OKU dan bangunan baharu Taman Didikan Kanak-Kanak OKU, di samping membuat pembaikan menyeluruh Rumah Warga Tua Sri Harapan.
“Untuk Kota Kinabalu pula, kita akan melaksanakan pembinaan Kompleks Bersepadu OKU dan Warga Emas di Inanam.
“Kompleks ini akan menyediakan khidmat penjagaan harian berbayar untuk 50 penghuni; Kemudahan latihan dan peluang pekerjaan kepada OKU; dan sokongan psikososial kepada warga emas,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Sugut menjawab pertanyaan Calvin Chong Ket Kiun (Elopura) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
James berkata, sebagai inisiatif tambahan, sebuah “Rumah Warga Tua Kendiri” di Telupid yang menempatkan warga emas tanpa waris secara percuma sedang dibangunkan.
Katanya, model ini boleh dijadikan contoh untuk diperluaskan ke kawasan bandar seperti Sandakan dan Kota Kinabalu pada masa hadapan.


































