Jahid Menyampaikan anugerah kepada salah seorang pemenang, sambil disaksikan pemimpin yang lain.
TAMPARULI: Golongan belia harus tampil sebagai pemacu utama transformasi masyarakat, dengan menjadikan semangat hijrah sebagai asas kepada perubahan diri dan pembangunan komuniti.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Jahid Jahim menegaskan bahawa belia perlu dibentuk dengan nilai akhlak yang tinggi, daya saing yang mantap serta kesedaran terhadap tanggungjawab sosial bagi memastikan kecemerlangan ummah dapat dicapai secara berterusan.
“Hijrah bukan sekadar sejarah, tetapi satu pedoman untuk membina jati diri dan memperkasa peranan kita dalam membentuk masa depan masyarakat.
Golongan belia merupakan sumber terpenting negara yang perlu dibimbing agar menjadi peneraju kepada perubahan,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kecil Tamparuli di Masjid Kampung Damat, di sini kelmarin.
Mengulas pandangan ulama tersohor Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi, beliau berkata, nilai seorang remaja jauh lebih tinggi daripada kekayaan material kerana masa depan negara bergantung kepada kualiti generasi muda hari ini.
“Jika kita gagal membimbing mereka dengan ilmu, akhlak dan kepimpinan, maka kita sedang mempertaruhkan masa depan negara,” tambah beliau sambil menyeru agar seluruh lapisan masyarakat, termasuk institusi masjid, berganding bahu dalam pembangunan insan.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Maal Hijrah kepada pelajar-pelajar cemerlang sebagai simbolik pengiktirafan kepada kejayaan mereka dalam akademik dan pembentukan sahsiah diri.
Dalam pada itu, Jahid turut menzahirkan penghargaan kepada usaha menaik taraf Surau Kampung Damat menjadi masjid yang kini menjadi pusat perkembangan syiar Islam di kawasan berkenaan.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging; dan Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad.


































