PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa ‘menunggu’ bagi mengeluarkan kalendar penuh Liga Malaysia (Liga M) 2025-2026 ekoran Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) belum mengumumkan jadual Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, pihaknya terpaksa menunggu makluman rasmi daripada AFF bagi penjadualan Liga M kerana ACC turut melibatkan penyertaan dua wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Katanya, sehingga kini pihaknya belum menerima maklumat rasmi daripada AFF selepas undian kejohanan itu kelmarin dengan Selangor diundi dalam Kumpulan A manakala JDT berada dalam Kumpulan B.
“Apabila tiada jadual (ACC) itu, kami masih tak boleh nak merencana pada jadual yang membabitkan JDT dan Selangor. Semua sedia maklum selain dari ACC, JDT juga bermain dalam ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit) dan Selangor di ACL2 (Liga Juara-Juara Asia 2).
“Jadi, kami memerlukan jadual itu dan sekiraya mendapat secepat mungkin, maka secepat mungkin juga kami akan keluarkan jadual penuh Liga M musim akan datang,” katanya.
Kalendar penuh Liga M menjadi tumpuan apabila MFL belum mengumumkan perkara itu bagi musim 2025-2026 sedangkan saingan dijadualkan membuka tirai pada awal bulan depan.
Kata Mohd Shazli, MFL turut menunggu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan melakukan undian bagi ACLE dan ACL2 pada 15 Ogos ini.
Namun begitu, jadual penuh Liga M akan dikeluarkan terlebih dahulu sebelum undian kejohanan peringkat Asia itu kerana saingan tempatan akan bermula pada awal Ogos.
“Kami juga menunggu undian ACLE dan ACL2, namun jadual penuh (Liga M) akan dikeluarkan terlebih dahulu kerana kami menjangkakan liga akan bermula sekitar 8 atau 9 Ogos dengan aksi Piala Sumbangsih membabitkan JDT dan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim.
“Jadi jadual harus keluar dahulu bagi memudahkan kelab untuk membuat persiapan. Selepas undian AFC, kami akan menunggu respon dari JDT dan Selangor adakah jadual yang dikeluarkan itu perlu ditambah baik. AFC sudah bagi tarikh, cuma tak tahu siapa main hari apa dan kumpulan mana,” katanya.
































