RIO DE JANEIRO: Pemimpin-pemimpin negara BRICS menyuarakan kebimbangan serius terhadap dasar tarif perdagangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang disifatkan sebagai tidak berhemah dan berisiko menjejaskan ekonomi global.
Menurut Utusan Malaysia, mesyuarat tahunan yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil mulai Ahad itu menyaksikan penyatuan suara berhubung isu tarif import unilateral oleh Washington oleh negara-negara membangun yang mewakili kira-kira separuh daripada populasi dunia dan 40 peratus keluaran ekonomi global.
Menurut draf kenyataan sidang kemuncak yang diperoleh agensi berita AFP, BRICS menyatakan mereka amat bimbang terhadap peningkatan langkah-langkah tarif dan bukan tarif secara unilateral yang mengganggu perdagangan dan tidak selari dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Meskipun draf kenyataan tersebut tidak menyebut AS secara langsung, namun ia dilihat sebagai kecaman politik terbuka terhadap dasar perdagangan pentadbiran Trump, khususnya daripada gabungan 11 negara membangun termasuk Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.
Kenyataan itu turut memberi amaran tindakan sedemikian mengancam untuk terus mengurangkan perdagangan global serta memberi kesan terhadap prospek pembangunan ekonomi dunia.
Sejak memegang jawatan pada Januari lalu, Trump mengumumkan pelbagai langkah tarif baharu, termasuk menerusi surat rasmi yang dihantar kepada rakan-rakan dagangan bagi memaklumkan kadar tarif terbaharu yang bakal dikuatkuasakan.
Sebagai sebuah blok ekonomi yang diwujudkan dua dekad lalu untuk memperkukuh kerjasama ekonomi negara-negara sedang pesat membangun, BRICS kini dilihat sebagai kuasa imbangan yang diketuai China dalam menghadapi dominasi Barat.
Namun begitu, impak politik sidang kemuncak kali ini dijangka terjejas berikutan ketiadaan Presiden China, Xi Jinping, yang buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun tidak menghadiri mesyuarat tahunan tersebut.