Sebuah jambatan dengan selekoh 90 darjah di Madya Pradesh, India mencetuskan kecaman banyak pihak.
BHOPAL: Kerajaan negeri Madhya Pradesh menggantung tujuh jurutera selepas reka bentuk jambatan bernilai 200 juta rupee (RM10 juta) menjadi bahan jenaka dan kebimbangan awam susulan kewujudan selekoh hampir 90 darjah yang dianggap berbahaya dan tidak masuk akal.
Menurut Utusan Malaysia, jambatan baharu jenis Rail Over Bridge (ROB) yang terletak di Bhopal itu diumumkan sejak sedekad lalu dan dibina bagi meningkatkan sambungan antara kawasan Mahamai Ka Bagh, Pushpa Nagar dan kawasan stesen dengan bahagian baharu Bhopal.
Namun, projek yang sepatutnya memudahkan perjalanan bagi kira-kira 300,000 penduduk itu kini menjadi perhatian nasional kerana kesilapan reka bentuk yang ketara, mencetuskan kecaman awam dan menjadi simbol kegagalan perancangan infrastruktur di India.
Gambar jambatan tersebut yang menunjukkan selekoh hampir bersudut tepat tular dan mencetuskan kritikan terhadap aspek keselamatan serta persoalan bagaimana kesilapan sebesar itu boleh terlepas pandang oleh jurutera serta pihak berkuasa.
Berikutan tularnya isu tersebut di platform X, Ketua Menteri Mohan Yadav segera melancarkan siasatan rasmi dan mengumumkan penggantungan serta-merta terhadap tujuh jurutera termasuk dua jurutera kanan yang terlibat dalam reka bentuk jambatan tersebut.
Beliau turut memaklumkan siasatan dalaman akan dijalankan terhadap seorang jurutera kanan yang telah bersara.
“Dua ketua jurutera antara tujuh yang telah digantung. Siasatan jabatan juga akan dijalankan terhadap seorang sub-jurutera bersara. Agensi pembinaan serta perunding reka bentuk juga telah disenarai hitam kerana menyerahkan reka bentuk yang cacat,” kata Yadav.
Firma arkitek dan perunding reka bentuk yang terlibat dalam projek itu kini disenarai hitam oleh kerajaan negeri namun, jurutera kanan projek, VD Verma mempertahankan keputusan reka bentuk itu dengan menyatakan bahawa pasukannya tidak mempunyai pilihan lain kerana kekangan ruang dan kewujudan stesen metro berdekatan tapak jambatan.
Pihak berkuasa Bhopal mencadangkan pembelian tanah tambahan bagi membolehkan jajaran yang lebih selamat dan sesuai dibina bagi menggantikan selekoh tajam itu.


































