Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah terus menunjukkan ketahanan kukuh apabila jumlah perdagangan melebihi RM100 bilion untuk tiga tahun berturut-turut, menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe menyambut baik penjelasan rasmi DOSM mengenai angka perdagangan Sabah, yang menurutnya membuktikan prestasi perdagangan negeri itu kekal kukuh dan dalam momentum pertumbuhan positif.
“Menurut laporan rasmi DOSM bertarikh 4 Julai 2025, jumlah perdagangan Sabah bagi tahun 2024 direkodkan pada RM107.8 bilion — meningkat 2.7 peratus berbanding 2023. Ini jelas menolak dakwaan sebelum ini yang mengatakan berlakunya kejatuhan mendadak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada kekeliruan sebelum ini berikutan lonjakan luar biasa dalam statistik perdagangan 2023 yang melaporkan jumlah perdagangan Sabah sebanyak RM158 bilion, sebelum kononnya merosot kepada RM43 bilion pada 2024. Perkara itu mendorong beliau mendapatkan penjelasan daripada DOSM.
“Dari tahun 2019 hingga 2022, perdagangan Sabah secara konsisten berada antara RM36 bilion hingga RM58 bilion. Tetapi pada 2023, ia tiba-tiba melonjak kepada RM158 bilion dan kemudiannya dikatakan menurun kepada RM43 bilion pada 2024, menimbulkan kekeliruan,” jelasnya.
Bagaimanapun, kenyataan terkini DOSM telah menjelaskan bahawa angka RM43 bilion tersebut merujuk kepada perdagangan antarabangsa berdasarkan negara asal dan destinasi, bukannya jumlah perdagangan keseluruhan.
Hakikatnya, jumlah perdagangan Sabah — termasuk perdagangan dengan Semenanjung Malaysia dan Sarawak — mencecah RM107.8 bilion pada 2024, meningkat daripada RM105 bilion pada 2023.
Phoong berkata, data DOSM juga mengesahkan bahawa perdagangan antarabangsa Sabah pada 2024 adalah RM43 bilion, sejajar dengan angka yang diumumkan oleh DOSM pada 16 Jun lalu. Lebih penting lagi, perdagangan antarabangsa bagi 2023 sebenarnya ialah RM41.4 bilion dengan eksport sebanyak RM31 bilion — bukan RM158 bilion seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Penjelasan ini membuktikan bahawa dakwaan kononnya Sabah mengalami kejatuhan perdagangan adalah tidak tepat. Sebaliknya, terdapat pertumbuhan dalam kedua-dua jumlah perdagangan dan perdagangan antarabangsa antara tahun 2023 dan 2024,” katanya.
Bagaimanapun, Phoong melahirkan kekesalan terhadap kekeliruan yang timbul sebelum ini akibat ketidakselarasan data dan laporan yang berbeza.
Beliau turut menyentuh perkembangan positif sektor perindustrian Sabah apabila DOSM melaporkan eksport barangan pembuatan meningkat 9.3 peratus kepada RM12.0 bilion pada 2024.
“Peningkatan dalam eksport barangan pembuatan amat memberangsangkan dan mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan industri Sabah,” katanya.
Beberapa angka penting lain dalam laporan DOSM termasuk jumlah eksport keseluruhan sebanyak RM61.3 bilion bagi tahun 2024, manakala import meningkat 10.2 peratus kepada RM46.4 bilion. Lebihan dagangan direkodkan sebanyak RM14.9 bilion, namun 27.9 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
Phoong menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memastikan ketelusan dan daya tahan ekonomi, serta menyatakan bahawa penjelasan DOSM telah mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap realiti prestasi perdagangan Sabah.
“Sebarang dakwaan bahawa Sabah menghadapi krisis perdagangan adalah tidak berasas dan mengelirukan. Angka yang dikeluarkan DOSM jelas menunjukkan ekonomi negeri ini stabil dan terus berkembang,” tegasnya.
































