KOTA KINABALU: Usaha mengukuhkan silaturrahim dan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam terus diperkasa menerusi program perlawanan bola sepak persahabatan semalam, di antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) dan Kementerian Kewangan Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS), di Stadium Likas.
Perlawanan tersebut bukan sahaja menjadi medan persaingan mesra, malah sebagai platform membina hubungan yang lebih erat di antara warga kerja dua kementerian penting ini.
Dalam aksi yang penuh semangat kesukanan itu, pasukan KPLBS berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 5-3.
Menurut jurucakap penganjur, Mohd. Hafif Japlin, objektif utama program tersebut adalah untuk mengukuhkan kerjasama antara penjawat awam melalui sukan, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kementerian.
“Kalah dan menang tidak menjadi ukuran utama. Yang lebih penting ialah semangat kesukanan, semangat berpasukan dan rasa kekitaan yang terbina melalui program sebegini,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berkala, melibatkan lebih banyak agensi kerajaan demi membudayakan gaya hidup aktif dan memperkukuh hubungan antara jabatan serta kementerian di Sabah.
Acara berkenaan turut mendapat sambutan hangat, diserikan dengan kehadiran penyokong kedua-dua kementerian yang turut sama menyemarakkan suasana perlawanan.